Chacha Maembong
Chacha Maembong

Kuala Lumpur: Pelakon, Chacha Maembong menuntut penjelasan daripada Ruhainies selepas namanya 'dipetik' dalam perbualan di antara Ruhainies bersama Aliff Aziz di aplikasi WhatsApp yang ditularkan seorang wanita didakwa kekasih kepada Aliff iaitu Sarah Yasmine, malam tadi.

Chacha yang tiada kena-mengena dalam isu kontroversi membabitkan mereka tampil menghubungi Ruhainies, namun pelakon itu seolah-olah mengelak menjawab pertanyaan yang diajukan.

"Saya hantar mesej kepada Ruhainies dan bertanya kenapa petik nama saya sebab saya tidak masuk campur dalam urusan mereka.

"Saya tanya bila masa saya cakap Bella menangis dekat saya? Korang punya masalah kenapa petik nama saya?" katanya kepada Ruhainies dalam mesej yang dihantar di WhatsApp.

Ruhainies dalam mesej balasannya menerusi 'Voice Note' (VN) hanya memberitahu perbualan tersebar itu adalah antara dia dan Aliff yang disebarkan oleh pihak lain.

"Itu perbualan di antara saya dan Aliff. Saya tak tahu wanita itu nak 'hacked' (godam) telefon dia (Aliff) macam itu. Awak faham tak?

"Itu kan benda lama yang hari itu kita jumpa, yang kita buat panggilan video selepas cakap dengan Emma dan awak," kata Ruhainies.

Menurut Chacha, mesej lain dan panggilan telefon yang dibuat kepada Ruhainies bagi mendapatkan jawapan tidak dibalas selepas itu.

Enggan namanya terus menjadi sasaran netizen dan dipersalahkan, Chacha memohon Ruhainies membersihkan namanya kerana perkara yang tersebar adalah fitnah selain dia tidak pernah mengutuk Bella.

"Saya (hantar) mesej dia lagi kata orang kecam saya, cakap nama saya bercakap fasal Bella tetapi perkara itu tidak betul.

"Saya tidak boleh biarkan saja kerana saya tiada kena-mengena dan tidak hubungi dia langsung. Saya minta dia bersihkan nama saya. Namun, dia tidak membalas mesej itu. Saya telefon dia juga tetapi tidak dijawab," katanya.

Menjelaskan situasi sebenar yang berlaku ketika insiden itu berlaku, Chacha menjelaskan, dia tidak pernah menelefon Ruhainies seperti didakwa malah tidak mempunyai hubungan rapat dengan wanita itu.

"Ceritanya saya tengah makan, mereka (Ruhainies dan Emma) sedang buat panggilan video dan tiba-tiba telefon diberikan kepada saya.

"Bukan saya minta nak bercakap sekali. Bukan saya yang nak cakap dengan dia (Ruhainies). Saya cakap saya tak tahu apa yang berlaku dan tak mahu tahu pun tentang masalah mereka.

"Apa yang saya tahu pun sebab baca di media sosial. Saya tak mahu ambil pusing," katanya.

Malam tadi, Sarah Yasmine mendedahkan pelbagai perbualan di antara Aliff dan Ruhainies.

Antara perkara yang mencuri perhatian ialah perbualan mengaitkan nama Chacha dan kakaknya, Emma Maembong yang didakwa memperlekeh kenyataan Bella seperti bersungguh-sungguh untuk membuatkan netizen percaya terhadapnya.

Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Bella pada 13 Mac lalu memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres namun semasa sebutan kedua permohonan itu pada 4 April lalu, pelakon kelahiran Singapura itu enggan menceraikannya.

Lebih panas, Isnin lalu Sarah mendedahkan dia adalah kekasih Aliff dan selepas itu bertindak menyebarkan pelbagai perkara mengenai pelakon berkenaan melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 11:04 AM