Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan mengalami keguguran anak pertama yang dinanti-nantikan baru-baru ini selepas mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021.

Elizabeth atau nama sebenarnya, Tan Su Mei, 30, mengakui terkesan dengan keguguran itu memandangkan dia sudah bersedia untuk bergelar ibu.

"Sebenarnya saya mengalami keguguran anak pertama namun kehamilan saya masih berada pada peringkat awal lagi. Saya ke hospital dan disahkan bahawa kandungan sudah tiada lagi.

"Pada mulanya saya tidak begitu terkesan ketika kejadian berlaku dua bulan lalu. Tidak tahu bila lagi saya akan hamil dan itu sedikit sebanyak membimbangkan saya. 

"Kalau saya cakap banyak mengenai hal ini saya akan menangis pula. Bukan apa, saya dan suami sudah berpisah.

"Malah saya juga sudah berkongsi kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk mempunyai anak. Jadi perancangan itu terpaksa diubah kerana keguguran. Itu yang membuatkan saya sedih," katanya.

Elizabeth ketika ditemui pada pratonton filem Sheriff mengulas mengenai perancangan memiliki anak selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Majlis perkahwinan mereka dihadiri keluarga dan kenalan rapat sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.

Bintang Abang Long Fadil 3 itu sebelum ini pernah mendedahkan beberapa tahun kebelakangan ini adalah tahun untuk bersungguh-sungguh menjadi seorang ibu. 

Bercerita mengenai filem Sheriff pula, Elizabeth mengakui antara cabaran menjayakan watak ASP Jennifer Wong dalam naskhah arahan Syafiq Yusof itu adalah menjadi seorang ibu.

"Saya belum menjadi seorang ibu lagi, jadi apabila perlu melakonkan watak sebegitu memang bukan mudah. Apa pun, saya berterima kasih di atas peluang yang diberikan. 

"Jika dibandingkan saya dengan nama-nama besar lain dalam filem ini, siapalah saya. Namun saya harap penonton di luar sana akan datang menonton kerana ini adalah filem yang baik," kata Elizabeth.

Selain Elizabeth, filem yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 18 April itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 11:26 AM