MISI Hafreez kukuh jenama.
MISI Hafreez kukuh jenama.
Ramlah Zainal


KEMUNCULAN ramai bakat baharu dan pempengaruh media sosial turut merancakkan lagi perkembangan industri seni tanah air.

Bagi pelakon, Hafreez Adam, dia melihat situasi persaingan sihat itu dari sudut positif untuk mewarnai industri ketika ini.

Antara pelakon baharu yang berbakat besar dan boleh diketengahkan seperti Hun Haqeem, Meerqeen, Nadir Nasar, Amirul Aiman dan Erysha Emyra.

Namun, kata pelakon drama bersiri 50 episod, Malang Si Puteri untuk saluran Astro Ria ini, dia menasihatkan pelakon baharu supaya menjaga aspek disiplin dan tidak malu bertanya dengan pelakon senior di lokasi.

"Ada pelakon baharu yang datang ke lokasi tanpa sebarang persediaan seperti baca skrip dan bu

at 'homework'.

"Pelakon baharu itu nampak seperti tidak tahu apa-apa. Perbuatannya itu akan menyusahkan pelakon gandingannya dalam drama berkenaan.

"Sebab produksi juga perlu kejar masa untuk tarikh tayangan sebab ada drama yang kita 'shoot' hari ini, tapi minggu depan drama itu dah tayang sebab itu kita tak boleh banyak buang masa di lokasi," katanya.

PENGALAMAN mematangkan Hafreez.
PENGALAMAN mematangkan Hafreez.

Kata Hafreez lagi, pelakon baharu juga jangan segan bertanya pada pelakon senior dan pengarah di lokasi jika tidak faham karakter diserahkan.

"Jika ada kelapangan, mereka boleh berguru dengan guru lakonan sedia ada seperti Datuk Fauziah Nawi, Fauziah Ahmad Daud dan Fatimah Abu Bakar," katanya.

Ditanya pengalaman bekerja dengan pelakon baharu, kata Hafreez, dia pernah bekerjasama dengan artis baharu yang bermasalah di lokasi.

"Artis baharu itu datang lewat selama dua hingga tiga jam, tapi langsung tidak minta maaf kepada pelakon senior dan pengarah yang terpaksa menunggu lama di lokasi.

"Kalau boleh saya tak nak bekerjasama lagi dengan artis yang bermasalah, tapi bukan saya yang tetapkan perkara itu kerana ia keputusan penerbit dan pengarah.

"Tapi, saya akan 'limit'kan (bataskan) diri dan 'energy' (tenaga) bila berlakon dengan artis bermasalah seperti itu di lokasi," katanya.

Mengenai dakwaan pelakon baharu tutup periuk nasi pelakon lama pula, kata Hafreez, dia juga percaya pada soal rezeki dari Tuhan.

"Saya lebih suka bersikap terbuka dalam hal ini. Kalau ditakdirkan itu rezeki kita, orang buat macam manapun, ia tetap menjadi milik kita.

"Begitu juga sebaliknya. Tiada istilah tutup periuk nasi orang lain kerana kita perlu percaya pada rezeki masing-masing.

"Sebagai pelakon, kita cuba buat yang terbaik untuk diri sendiri dan industri seni juga," katanya yang menyambut Aidilfitri di kampung sebelah ibu di Muar, Johor.

Dalam pada itu, kata Hafreez, dia juga bakal terbabit dengan projek drama baharu tidak lama lagi.

"Saya tidak mahu beritahu mengenai projek drama baharu itu lagi, takut ada tukar tarikh atau tukar pelakon dan sebagainya nanti.

"Selain lakonan, saya juga sibuk dengan bisnes diceburi dan mengukuhkan jenama sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:30 AM