HAFREEZ tak mahu kehilangan sahabat fokus perbaiki hubungan baik.
HAFREEZ tak mahu kehilangan sahabat fokus perbaiki hubungan baik.
Norhayati Nordin

SETIAP orang tentunya mempunyai lakaran kisah kehidupan masing- masing. Ada yang suka dan indah, namun tak terkecuali juga kedukaan.

Bagi pelakon Hafreez Adam, dia kini pasrah dan lebih berpandangan positif.

Katanya, yang berlalu biar pergi dan kini dia membuka lembaran baharu.

Hafreez berkata, sekarang dia lebih fokus untuk memperbaiki kehidupannya, lebih cenderung memantapkan karier dan perbaiki hubungan baik bersama rakan.

"Sebenarnya dengan sikap saya sebelum ini yang begitu sibuk dengan pelbagai urusan termasuk cinta, saya hampir kehilangan sahabat baik.

"Jadi, sekarang ini saya ambil peluang untuk perbetulkan segala kesilapan lalu yang pernah dilakukan kerana persahabatan sangat banyak membantu saya bangkit memulakan kehidupan lebih indah.

"Alhamdulillah saya bersyukur di saat diri berhadapan ujian seperti putusnya ikatan pertunangan, masih ada rakan hadir di sisi memberikan semangat," katanya.

Menurut pelakon drama Monalisa ini, mengambil iktibar daripada apa yang sudah berlaku, dia kini lebih banyak meluangkan masa dengan mereka yang sentiasa ada di sisi membantunya.

"Saya akui dahulu ketika bercinta lebih banyak habiskan masa dengan bekas kekasih. Hingga saya terlepas pandang, situasi itu menyebabkan kebanyakan rakan yang terasa hati.

"Begitu juga, saya sentiasa sibukkan diri dengan bekerja. Jadi memang ada rakan terasa hati dengan cara layanan saya yang tidak sama kepada mereka," katanya.

Menurut Hafreez, kemelut perhubungan dengan rakan makin renggang apabila majlis pertunangannya dilangsungkan dengan menjemput keluarga terdekat sahaja.

"Jadi, ramai juga rakan yang berasakan saya menganggap mereka sebagai orang asing. Justeru, ia membuatkan mereka sedar sudah wujudnya jurang antara kami," katanya.

Kata pelakon drama Puteri Yang Ditukar ini, bagaimanapun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, banyak mengajarnya untuk menghargai erti ikatan persahabatan.

Hafreez yang tidak dapat bertemu ibu dan keluarganya kerana 'terkandas' di Bangi menetap bersama rakan baik, Ariz Lufiaz yang disifatkan banyak membantunya di saat sukar itu.

"Berjauhan dengan keluarga adalah perkara menyedihkan saya. Ditambah, saya pula seorang yang selalu menghabiskan masa bersama keluarga. Terutama, dengan ibu tersayang.

"Perasaan rindu pada ibu saya ketika itu sukar diungkap. Walaupun jarak kami terpisah tidak jauh, yang mana saya berada di Bangi dan ibu pula di Wangsa Maju, tetapi hanya Allah yang tahu," katanya.

Tidak mahu lagi mengalami saat-saat perlu berpisah dengan keluarganya, Hafreez berkata, kini jiwanya sangat tenang dikelilingi insan tersayang, begitu juga rakan rapat yang sangat prihatan dan sedia membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:20 AM