Kumpulan Masdo. Foto Rohanis Shukri
Kumpulan Masdo. Foto Rohanis Shukri
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Kumpulan Kugiran Masdo meluahkan rasa syukur dan gembira dengan penghijrahan rakan duet mereka menerusi lagu Pujaanku iaitu Aisyah Aziz.

Menurut vokalis Masdo iaitu Ali Sariah, penghijrahan Aisyah sudah dirasai sejak mereka berkerja sama menerusi lagu berkenaan.

"Ketika sesi rakaman, sebenarnya kita sudah nampak Aisyah mula ke arah berubah menjadi lebih baik yang mana cara dia bercakap pun agak berlainan.

"Sejujurnya ketika sesi berkenaan, Aisyah juga ada berkongsi dengan kami tentang proses penghijrahan dan hasrat untuk berhijab. Kami okay sahaja dan itu adalah perubahan yang bagus untuk dia.

"Pasti ada sesuatu yang berlaku dalam hidup dia telah menjentik dirinya untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

"Saya rasa kemuncaknya adalah sebab dia mahu pergi menunaikan umrah. Dari situ Aisyah mula perlahan-lahan berubah," kata Ali.

Masdo berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Festival Aku, Muzik & Kamu kelmarin.

Biarpun sudah berhijab dan berkongsi mengenai penghijrahannya, anggota Masdo iaitu Asmawi menyifatkan Aisyah masih lagi sama seperti dulu.

"Bila dia sudah berubah dan pulang dari mengerjakan umrah, kami pun ada usik-usik dia. Tak sangka sebenarnya kami sudah jadi seperti sahabat pula.

"Kami sempat membuat persembahan bersama Aisyah yang sebelum ini dan juga selepas berhijrah, dia masih lagi masih lagi orang yang sama. Suka bergurau dan ceria. Masih Aisyah Aziz," kata Asmawi.

Terdahulu, Aisyah memberi gambaran mahu menjalani kehidupan tenang dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Malah, adik kepada penyanyi Aliff Aziz ini juga turut berkongsi hantaran di Instagram Story mengenai situasi yang melanda dirinya, tahun lalu, hingga timbul kesedaran untuk berubah menjadi insan lebih baik.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah, Putu Ceri dan Asmawi ini bakal terbabit dengan Festival Aku. Muzik & Kamu di Johor Bahru pada 8 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:39 PM