KENYATAAN yang dimuat naik Kugiran Masdo di Twitter. FOTO Twitter Kugiran Masdo, Syarafiq Abd Samad
KENYATAAN yang dimuat naik Kugiran Masdo di Twitter. FOTO Twitter Kugiran Masdo, Syarafiq Abd Samad
Georgie Joseph


KUGIRAN Masdo menafikan cuba mencari publisiti murahan apabila memuat naik kenyataan tidak puas hati di Twitter mengenai baju mereka dicetak rompak.

Menurut vokalisnya Ali Sariah, niat asal mereka adalah untuk menegaskan bahawa cetak rompak satu kesalahan, namun tidak sangka dikatakan berbuat demikian demi publisiti.

“Penjualan baju itu dibuat tanpa pengetahuan kami dan tidak mahu banyak pihak terus mengambil kesempatan. Ia tidak adil buat kami dan hal ini tidak bagus untuk industri.

“Saya pelik apabila ada yang melihat luahan kami itu sebagai publisiti murahan. Padahal kami memang benar-benar tidak puas hati baju kami itu dicetak rompak pihak tidak bertanggungjawab.

“Terus-terang, kami tidak harapkan publisiti murahan pun. Banyak lagi cara lebih baik kami boleh usahakan untuk menaikkan nama meskipun masih ramai belum mengenali Masdo,” katanya.

Bagaimanapun, Ali berharap isu itu tidak diambil remeh memandangkan penjualan baju dan cendera hati juga adalah periuk nasi mereka.

“Kalau ikutkan, zaman cetak rompak ini sudah berlalu. Orang kita sepatutnya sudah mengubah mentaliti untuk tidak menyokong barang ciplak, terutamanya produk tempatan.

“Baju kami sendiri pun dijual pada harga mampu milik dan bukannya mencecah ratusan ringgit. Lagipun kami menjualnya secara eksklusif di acara-acara tertentu yang mana sebenarnya banyak kelebihan termasuklah peminat boleh berjumpa kami depan mata.

“Saya sangat berharap generasi baru terutamanya, belajarlah menghargai barang-barang tulen dan ubah mentaliti serta banteras cetak rompak,” katanya.

Kugiran Masdo adalah band indie yang dianggotai Ali, Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal), dan Asmawi (gitar/vokal). Mereka mengetengahkan muzik pop era 1960-an dan popular dengan lagu Teruna Dara, Malam Pesta Rock and Roll, Berchanda dan Bunga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 11:43 AM