PETIKAN video tular yang buat Zarul tersentuh dan ingat pengalaman dia jual apam balik.
PETIKAN video tular yang buat Zarul tersentuh dan ingat pengalaman dia jual apam balik.
ZARUL Umbrella
ZARUL Umbrella
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya pernah alami benda-benda ini semasa berniaga di bazar Ramadan. Ada peniaga sebelah bawa anak kecil dan apabila hujan habis basah," kata Zairulkefli Husin atau Zarul Umbrella.

   Penyanyi dan pelakon ini berkata, paparan video seorang kanak-kanak lelaki mengikut ayahnya berniaga aiskrim dan tertidur dalam keadaan hujan lebat yang tular di media sosial amat menjentik perasaannya. 

   "Kiranya macam 'struggle is real'.  Bila berniaga, tengok ramai orang datang memang seronok. Bila cuaca elok pun seronok. Tapi itulah, dugaannya bila hujan.

   "Bila hujan tiada orang yang datang. Berganda dugaannya. Dahlah basah lagi, nak elak air bocor apa semua. Macam saya berniaga apam balik dulu, benda yang panas-panas. Bila terpercik air, apam jadi sebu dan sejuk. 

   "Memang rugi. Nak jual dah tak boleh. Inilah dugaan peniaga tepi jalan. Jadi, setiapkali saya pergi mana-mana pasar malam dan tiba-tiba hujan saya rasa kasihan," katanya kepada Harian Metro. 

   Menurutnya, dia sendiri pernah mengalami insiden payung terbang ditiup angin walaupun diletakkan beberapa ketul batu besar untuk menjadikannya kukuh.

   "Itu antara kesusahan yang ditempuhi. Dari segi pendapatan pun tak menentu. Kadang orang ramai pun, jualan tak bagus juga. 

   "Jadi apabila tengok video itu, akan terdetik masa silam saya dulu semasa berniaga dari 1997 sehingga April 2000. 

  "Ketika itu saya menyertai kru penerbangan dan masih dalam latihan. Gaji asas hanya RM700, jadi memang tak cukup untuk tampung hidup," katanya. 

   Menurutnya, setiap hari minggu dia akan ambil kesempatan berniaga apam balik dengan arwah bapanya di Puchong. Malah, Zarul juga pernah berniaga dengan arwah bekas bapa mentuanya di Shah Alam.

   "Pada 1998 pula saya buat sendiri. Tapi, saya tak pernah bawa anak ke tempat berniaga kerana ketika itu mereka masih kecil.

   "Itulah puncanya setiapkali saya tengok orang berniaga macam itu, kadangkala duit baki saya sedekahkan. Kadang itu, saya bagi lebih pun tak apa kerana tahu mereka susah macam mana.

   "Setengah orang tak merasa pengalaman ini. Ada juga setengah orang tak merasa, tapi dia tetap prihatin mungkin ada saudara maranya pernah mengalami benda yang sama," katanya. 

  Zarul berkata, pendapatan sehari yang diraih hanya sekitar RM100 hingga RM200 saja.

   "Kalau tiada orang sangat, dapatlah RM70 sehari. Pada bulan puasa dapat sekitar RM250 hingga RM300 sehari. Kalau berniaga di bazar Ramadan okeylah," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Inspektor Babyface untuk RTM. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 3:43 PM