THE Changcuters kekal hebat dengan persembahan bertenaga. Foto Asyraf Hamzah
THE Changcuters kekal hebat dengan persembahan bertenaga. Foto Asyraf Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman


Baik Kugiran Masdo mahupun The Changcuters masing-masing mempunyai pesona, kehebatan dan peminat tersendiri.

Apabila digabungkan dalam Konsert Masdo X The Changcuters di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini, ia berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 peminat untuk menyaksikan persembahan mereka.

Biarpun genre muzik berbeza, kolaborasi ini menjadi dan memberi impak yang hebat terhadap penonton sehinggakan mereka tidak duduk diam disajikan persembahan mantap sehingga lagu terakhir.

Meskipun berlangsung pada hari biasa atau hari bekerja, Kugiran Masdo dan The Changcuters yang berasal dari Bandung, Indonesia membuktikan bahawa mereka berada di platform yang betul mengadakan konsert ini.

Tepat jam 8.30 malam, Kugiran Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah (vokalis), Putuceri (bass), Azham Ahmad (drum), dan Asmawi (gitar) tampil disambut dengan sorakan peminat.

Mereka tidak mengambil masa lama apabila menghangatkan keadaan dengan lagu Malam Pesta Rock n Roll, Teruna & Dara, Bunga, Berduka Lara, Kasih & Sayang, Dewi Puspita, Lautan Asmara, Dinda dan Bercanda Di Malam Indah.

Malah Masdo turut membawakan single terbaru yang akan dilancarkan pada 13 Januari nanti berjudul Inilah JalanNya lirik oleh Noh Hujan.

MASDO tampil dengan lagu-lagu popular mereka. Foto Asyraf Hamzah
MASDO tampil dengan lagu-lagu popular mereka. Foto Asyraf Hamzah

Ali dilihat bijak berkomunikasi dengan peminat menerusi usikannya sekali gus menggamatkan suasana. Manakala Putuceri dan Asmawi sesekali mencelah dan ia berjaya menyuntik keceriaan.

Ketika berinteraksi dengan penonton, Ali turut menyampaikan perasaan terima kasih terhadap isterinya, Natasha Nurain yang hadir memberikan sokongan dan turut disambut tepukan bergemuruh penonton.

Era muzik pop yeh yeh seterusnya beralih kepada rock & roll pula yang ditampilkan oleh The Changcuters terdiri daripada Mohammad Tria Ramadhani (vokalis), Muhammad Iqbal atau Qibil (gitaris), Arlanda Ghazali Langitan (gitaris), Dipa Nandastyra Hasibuan (bass) dan Erick Nindyoastomo (drummer).

Mereka tampil menggegarkan pentas dengan lagu Pria Idaman Wanita, Mengapa Sahabat Pacarku, Parampampam, Akhirnya Indah, Senandung Pertemanan, Berangkat, Suka-Suka, Tarik Jabrix, Cari Rasa, I Love U Bibeh, Hijrah ke London, Hantu dan Gila-Gilaan.

Kehebatan Tria Ramadhani menguasai pentas sukar diungkap dengan kata-kata kerana dia memanfaatkan pengalamannya sebaik mungkin.

AKSI penutup konsert yang amat menghiburkan.  Foto Asyraf Hamzah
AKSI penutup konsert yang amat menghiburkan. Foto Asyraf Hamzah

Energinya sangat mantap bergerak ke segenap ruang pentas, namun vokalnya tetap terkawal dan bertenaga. Penonton amat terhibur dengan persembahan yang ditampilkan.

Babak penutup amat dinantikan peminat kerana menggandingkan kedua-dua kumpulan di atas pentas.

Mereka tampil dengan lagu Rachun Dunia, Miss Flawers Learns To Twist, Janji Manis dan Main Serong. Persembahan bertenaga Masdo dan The Changcuters mencipta satu momentum gempak yang sukar dilupakan oleh semua yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 6:17 AM