Omar Ahmad


Johor Bahru: Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Nur Hanis Zainalabidin, 19, bersedia malah tetap bersemangat ketika melangkah kaki melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Skudai di sini, hari ini.

Anak bongsu dari empat beradik yang mempunyai ketinggian 121 sentimeter itu ternyata teruja melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia.

Nur Hanis yang menghidap gangguan warisan pertumbuhan tulang atau Pseudoachondroplasia mengakui dia risau dan bimbang kerana keadaan fizikalnya akan membataskan pergerakan sebagai mahasiswa, namun sedar perlu kuat semangat untuk mengharungi kehidupan di kampus.

"Hari ini sangat bermakna buat saya kerana ia juga hari lahir saya. Saya teruja dapat melanjutkan pengajian ke universiti pilihan ini tetapi dalam masa sama ada rasa takut dan risau.

"Ini kali pertama saya berjauhan dengan keluarga, bila fikirkan keadaan fizikal saya memang ada rasa sukar. Saya sudah bersedia untuk berdikari.

"Alhamdulillah kemudahan fasiliti di kolej kediaman juga mesra OKU, saya ditempatkan di aras bawah dekat dengan tandas yang juga mesra OKU. Fakulti juga dekat, Insha-Allah semuanya akan dipermudahkan Allah SWT," katanya ketika ditemui selepas sesi pendaftaran pelajar baru UTM bagi sesi akademik 2022/2023 di sini hari ini.

Manakala bapanya, Zainalabidin Redzuan, 58, berkata dan isteri, Ramlah Musa, 53, sentiasa memberikan sokongan kepada Nu Hanis untuk menghabiskan pengajian.

"Dia boleh berjalan dengan sokongan tongkat tetapi tidak boleh berjalan terlalu lama dan jauh. Nur Hanis cepat penat.

"Buat sementara ini, saya dan isteri akan melawat Nur Hanis setiap minggu bagi memantau keadaan dirinya," katanya yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat.

Semangat sama turut dikongsi pelajar OKU celebral palsy kerana gangguan saraf tulang belakang atau Myelomeningocele, Nur Billahizzah Razib, 20 yang tidak menganggap ia satu kesukaran buatnya untuk menuntut ilmu.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, saya rasa boleh menjalani pengajian ini secara normal.

"Ada rasa sakit jika terlalu penat, rasa macam lenguh di bahagian belakang badan. Saya juga perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) setiap tahun," katanya.

Seramai 3,558 pelajar baru melangkah ke UTM peringkat Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2022/2023.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, daripada jumlah itu 3,401 pelajar akan mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru dan 157 pelajar di kampus UTM Kuala Lumpur.

Katanya, pelajar baharu terdiri daripada 1,638 pelajar lelaki dan 1,920 pelajar perempuan di mana kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian yang meliputi 58 program Sarjana Muda di 12 fakulti yang terdapat di UTM.

"Seramai 567 pelajar antarabangsa daripada hampir 35 buah negara seluruh dunia antaranya Bangladesh, Brunei Darussalam, China, Ekuador, Indonesia, Mesir, Pakistan dan Yemen mendapat tawaran mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu ini.

Ahmad Fauzi, pada sesi akademik kali ini, UTM turut menerima lapan pelajar OKU yang ditempatkan di kolej kediaman kondusif, khusus bagi memenuhi keperluan pembelajaran dan kelangsungan kehidupan seharian mereka.

"Ia menyokong kepada Dasar Inklusif OKU di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang diperkenalkan oleh pihak kementerian sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 2:51 PM
Nur Hanis dibantu  bapanya Zainalabidin menyusun barangan di kolej kediaman selepas mendaftar masuk  peringkat Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2022/2023 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Nur Hanis dibantu bapanya Zainalabidin menyusun barangan di kolej kediaman selepas mendaftar masuk peringkat Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2022/2023 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN