Amyza Aznan bersama suaminya, Khairil Idzhar
Amyza Aznan bersama suaminya, Khairil Idzhar
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Suami kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Khairil Idzhar Md Nazir, 48, kini kritikal dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, di sini, selepas mengalami sesak nafas semalam.

Amyza ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia turut menandatangani surat kebenaran untuk suaminya menjalani dialisis selepas doktor mengesahkan buah pinggangnya tidak dapat berfungsi.

"Semalam suami saya ke klinik selepas mengalami kesukaran untuk bernafas, kemudian doktor terus memberikan bantuan pernafasan dan menghubungi talian kecemasan Hospital Ampang.

"Ketika dia ditempatkan di zon merah, bacaan tekanan darahnya agak tinggi, namun mula turun hingga ke paras normal. Tapi kira-kira jam 7 pagi tadi, hospital menghubungi memaklumkan suami saya terpaksa ditidurkan.

"Malah suami saya juga terpaksa menjalani dialisis selepas buah pinggangnya tidak dapat berfungsi dan saya baru saja menandatangani surat kebenaran itu hari ini kerana ada kemungkinan menyebabkan jantungnya terhenti.

"Jika saya tidak bersetuju untuk pilihan itu, kemungkinan akan mengakibatkan organ lain turut gagal berfungsi," katanya.

Menurut Amyza, dia memohon orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan suaminya dan pulih seperti sediakala.

"Dalam keadaan sekarang ini saya hanya mohon orang ramai untuk mendoakan suami saya cepat sembuh. Mungkin doa anda Allah makbulkan dan beri kesembuhan kepada suami saya yang sedang bertarung nyawa sekarang ini," katanya.

Pada Disember 2017 lalu, Khairil Izhar pernah dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan kerana serangan jantung.

Amyza dan Khairil mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, Adrian Adam serta Ayden Andika.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:56 PM