AMYZA
AMYZA
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Pelakon, Amyza Aznan, 47, bersyukur suaminya, Khairil Idzhar Md Nazir, 48, sudah sedar selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang sejak 25 Disember lalu.

Amyza ketika dihubungi berkata, walaupun suaminya sudah stabil, keadaannya masih lemah dan mendapat pengawasan rapi doktor di ICU ketika ini.

"Alhamdulillah, doktor beritahu keadaan suami stabil selepas sedar dari ditidurkan, dua hari lalu.

"Saya melawat suami di wad ICU semalam dan ketika nak beri dia minum serta buka alat bantuan pernafasan pun, keadaannya masih lagi lemah dan nak bercakap pun dia beritahu penat.

"Selain masih memakai alat bantuan pernafasan, makan pun masih melalui tiub lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amyza, doktor memaklumkan suaminya ada masalah buah pinggang dan bukannya jantung.

"Suami juga perlu sambung rawatan dialisis di hospital dan saya juga tidak tahu berapa lama lagi dia akan dirawat di ICU.

"Menurut doktor, ia juga bergantung kepada kekuatan diri suami juga untuk melawan penyakitnya itu. Jadi, saya memohon doa daripada semua agar suami segera sembuh," katanya.

Sementara itu, Amyza turut mengucapkan terima kasih kepada rakan artis yang juga sahabatnya, pelakon Didie Alias, 51, yang membantu menjaga suaminya ketika dia terbabit dengan penggambaran sebelum ini.

"Saya perlu menghabiskan baki penggambaran drama Yang Tahu Je Tahu di Rembau, Negeri Sembilan ketika ini. Pada masa sama, saya juga sentiasa berhubung dengan doktor dan pihak hospital untuk perkembangan suami dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, Khairil dilaporkan kritikal dan ditidurkan di ICU Hospital Ampang selepas mengalami sesak nafas, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 1:25 PM