AWANG BPR bercakap ketika sidang media Malam Amal Kembara Seni Naluri Awang BPR di Restoran iCafe Bikerstation. FOTO Asyraf Hamzah
AWANG BPR bercakap ketika sidang media Malam Amal Kembara Seni Naluri Awang BPR di Restoran iCafe Bikerstation. FOTO Asyraf Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman


PEMAIN gitar kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) dan juga komposer Norzaini Mohammad atau Awang BPR, 56, menyeru penyampai radio menyebut nama pencipta lagu dan penulis lirik setiap kali memainkan lagu di stesen mereka.

Awang berkata, senario yang sudah lama diamalkan iaitu hanya menyebut nama penyanyi membuatkan komposer dan penulis lirik terpinggir sedangkan kesemuanya memainkan peranan penting dalam penghasilan sesebuah lagu.

“Patutnya ini yang dilakukan oleh penyampai radio. Apabila perkara ini jarang diketengahkan, maka kami seakan tidak dihargai.

“Sebenarnya bukan saya sahaja kerana banyak lagi lagu popular pelbagai artis yang peminat tidak kenal penciptanya.

“Saya amat berharap perkara ini dipraktikkan. Namun begitu, saya pernah dengar sebuah stesen radio buat perkara ini dan ia sesuatu yang positif,” katanya yang ditemui pada sidang media Kembara Seni Naluri Awang BPR.

Program amal yang menampilkan lagu-lagu ciptaannya untuk ramai penyanyi itu akan berlangsung di I-Cafe Biker Station, TSB, Sungai Buluh pada 7 September nanti.

Sepanjang kariernya, Awang sudah menghasilkan banyak koleksi lagu popular antaranya Luka Dilukai nyanyian Shima, Taman Astakona (Slash), Bahang Asmara (Gamma), Naluri Cinta (Toki dan Rohana Jalil), Segalanya Pasti (Aida Agil) dan Kurnia (Slam).

“Lagu-lagu ini sudah biasa didengar peminat di radio. Apabila diberitahu ia ciptaan saya, ramai juga yang terkejut kerana tak pernah tahu mengenainya.

“Saya tidaklah kecil hati tetapi selepas fikir sedalam-dalamnya, saya nekad menganjurkan Kembara Seni Naluri Awang BPR bagi memperkenalkan lagu saya kepada peminat.

“Diharapkan peminat lagu-lagu itu dapat menyokong acara ini dengan hadir menyaksikannya,” katanya.

Dalam pada itu, Awang yang juga ahli Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia atau MACP mengakui bersyukur sudah menerima royalti karya ciptaannya.

“Alhamdulillah, saya dapat bahagian saya. Namun, saya juga pemuzik serta termasuk dalam kategori pelaku yang bernaung di bawah Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM).

“Ia bermakna saya masih ada bahagian royalti daripada badan ini. Ia sangat-sangat diperlukan oleh kami semua.

“Saya bersimpati dengan kawan-kawan yang mengharapkan wang daripada royalti ini untuk menyara kehidupan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:02 PM