S ATAN. FOTO Azhar Ramli
S ATAN. FOTO Azhar Ramli
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Komposer legenda, S Atan, 74, boleh dianggap sebagai 'Bapa Lagu Raya' kerana menghasilkan banyak lagu raya 'evergreen' atau malar hijau sejak hampir 50 tahun lalu.

Sejak tahun 1976, S Atan sudah mencipta 56 lagu raya termasuk berstatus 'evergreen' seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Datuk Sudirman), Balik Kampung (Sudirman), Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan banyak lagi.

Beliau turut mencipta lagu raya generasi terkini antaranya Rindu Di Anjung Lebaran (Haiza), Seru Hari Lebaran (duet Syamel dan Ernie Zakri), Rindu Lebaran (E1 Band) dan Nikmat Di Hari Raya (duet Kelly Azman dan Ismaliza Ismail).

S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said ketika ditemui berkata, untuk menghasilkan lagu raya perlu ada keyakinan.

Katanya, setiap melodi lagu yang dibuat itu perlu ada unsur kemelayuannya.

"Kita orang Melayu kan, takkan lagu-lagu kita nak diserapkan budaya Barat. Lagu Melayu buat cara Melayu, tak perlu nak terikut-ikut budaya luar. Pilihan ada pada kita.

"Melayu itu pada kita dan kita yang pilihlah. Jadi, untuk lagu-lagu raya ini, budaya dan unsur kemelayuan itu mesti ada yang dekat dengan hati kita seperti kenangan waktu kecil di kampung, suasana beraya di kampung dan sebagainya," katanya.

Berbicara mengenai lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, S Atan berkata, dia adalah komposer yang menghasilkan sesuatu lagu mengikut kehendak disuarakan penyanyi itu sendiri.

Katanya, dia tidak membuat lagu mengikut cita rasanya.

"Lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf dirakam pada 1986 di Singapura. Saya hasilkan lagu itu sebagaimana yang dinginkan arwah Sudirman sendiri. Ketika itu, dia sendiri inginkan lagu berentak asli.

"Saya sebenarnya kalau buat lagu raya memang akan ikut kehendak penyanyi. Sama seperti lagu Cahaya Aidilfitri nyanyian Black Dog Bone, memang mereka yang minta saya buatkan lagu berentak 'slow' (perlahan)," katanya.

Ditanya mengenai penulis lirik, S Atan berkata, dia selepas bekerjasama dengan Kamali Hudi, Haron Abdul Majid dan sekarang, Siso.

"Saya dah 'confirm' siapa akan menulis lirik untuk sesuatu lagu itu ketika mesyuarat diadakan. Ini kerana, mereka tahu dan faham apa (susunan lirik) yang saya nak untuk lagu itu. Paling penting, kena ada sebut hari raya.

"Saya juga serahkan sepenuhnya kisah penceritaan dalam lagu kepada penulis lirik. Saya tak ganggu kreativiti mereka, tapi kena tahu 'part' (bahagian) mana yang sesuai nak sebut hari raya itu dan mesti ada unsur kemelayuan," katanya.

S Atan yang komited dan teliti dalam hasil kerja seninya berkata, dia mempunyai matlamat untuk sesebuah lagu raya dihasilkan mesti 'hits'.

Jadi, untuk memperolehnya, dia sangat teliti agar penyanyi yang menyanyikan lagu raya itu harus ada 'feel' dan sepenuh jiwa.

"Selagi tidak mencapai 'feel' lagu yang saya nak, saya sanggup membuat rakaman berkali-kali sehingga hasilnya dapat. Dulu, ramai penyanyi wanita menangis apabila bekerja dengan saya. Mereka tidak dimarah sebab saya tak akan marah orang, tapi sangat teliti," katanya.

S Atan berkata, bagi penyanyi yang bekerja dengannya, setiap hasil lagu dirakam perlu membuatkan dia yang mendengar meremang bulu roma.

Katanya, itu bermakna lagu berkenaan sudah mendapat 'feel' yang cukup dan orang mendengar pun turut merasainya.

Ditanya mengenai keistimewaan lagu-lagu raya ciptaannya 'evergreen' sampai sekarang, S Atan berkata, lagu raya sebenarnya mengambil masa untuk popular.

Katanya, kalau lancar sekarang, dalam beberapa tahun lagi, insya-Allah akan popular dan bertahan lama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 4:16 PM