BARISAN peserta yang layak ke Anugerah Juara Lagu pada saingan muzik muzik separuh akhir yang diadakan di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BARISAN peserta yang layak ke Anugerah Juara Lagu pada saingan muzik muzik separuh akhir yang diadakan di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
minda

Kebelakangan ini lirik lagu 'catchy' dan cukup dekat dengan masyarakat sering menjadi pilihan karyawan seni. Ia secara tidak langsung membantu karya mereka dapat diterima segera dan melekat di bibir masyarakat.

Dibantu dengan pengaruh media sosial yang menjadi ejen promosi wajib. Tak dinafikan menerusi platform seperti TikTok, Facebook, Instagram dan pelbagai lagi turut membantu dalam memperkembangkan industri hiburan tanah air.

Ambil contoh lagu Swipe oleh Alyph yang masih menjadi sebutan sehingga kini. Lirik lagu yang ringkas dan mengetengahkan mengenai rutin harian masyarakat moden kini menjadi asas utama menghasilkan lagu terbabit.

Alpyh atau nama sebenarnya Alif Abdullah seorang penyanyi, penulis lirik, komposer dan penerbit rakaman dalam satu temubual meluahkan perasaan terharu dan bersyukur kerana promosi Swipe dibantu lagi dengan penggunaan berterusan ramai individu termasuk orang kenamaan.

Tambahnya, perasaan itu jadi lebih istimewa apabila diperkatakan kerana kualiti terbaiknya dan bukan sekadar orang terikut-ikut trend menggunakan lagu berkenaan ketika sedang tular.

Selain itu terdapat juga beberapa lagu yang cukup popular di media sosial tapi hanya membabitkan baris lirik tertentu yang diubah suai dan tidak mempunyai keasliannya.

Tapi ia tetap diterima masyarakat kerana sifat subjektif dan bergantung kepada selera atau minat masing-masing.

Begitu juga dengan penampilan lagu dalam muzik video atau runut bunyi drama rantai mahupun sesebuah filem yang turut membantu memperkenal sesebuah lagu terbabit.

Penampilan komposer muda atau generasi baru sememangnya menyuntik fenomena baharu dalam industri hiburan tanpa menidakkan sumbangan komposer 'otai'.

Justeru pasti ramai di kalangan peminat muzik yang ternanti-nanti pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL). Pertandingan yang mengetengahkan konsep tersendiri untuk mengangkat lagu-lagu terbaik dan mengiktiraf kemampuan barisan penyanyi, pemuzik, komposer dan penulis lirik.

AJL yang memasuki edisi ke-37 baru saja selesai saingan separuh akhir minggu lalu, dengan 12 lagu dipilih bertanding di pentas final yang berlangsung pada 12 Februari depan.

Menariknya nama penyanyi, penulis lirik dan komposer muda mencuri perhatian antaranya Aina Abdul, Ernie Zakri, Alif Iskandar, Que Afiq dan ramai lagi.

Mereka seperti diduga menguasai pentas akhir yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Lagu-lagu ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria oleh juri profesional dilantik.

Begitupun, terdapat juga rasa tidak puas hati di kalangan peminat muzik apabila lagu kegemaran mereka tidak mampu lolos ke peringkat akhir pertandingan itu sekalipun mencetus fenomena tersendiri di carta radio dan menjadi pilihan penggemar di platform youtube.

Namun juri profesional yang dilantik serta penganjur program pastinya mempunyai alasan tersendiri mengenai perkara itu.

Tidak dinafikan juga agak sukar membuat perbandingan antara karya nostalgia dan sentuhan generasi baru karyawan muzik memandangkan ia bersifat subjektif.

Itu belum lagi mengambil kira tema dan lagu yang dihasilkan sempena hari tertentu.

Bagaimanapun, perlu ada pemantauan berterusan dari segi penggunaan lirik untuk memelihara budaya dan keharmonian negara.

Seperti yang sering diperjuangkan dan dilaungkan oleh pemimpin negara kita iaitu mengenai perpaduan kaum yang sudah terpelihara sejak bertahun-tahun lamanya.

Selain menjadi terapi terbaik kepada individu yang berdepan tekanan kerja, masalah keluarga dan ekonomi penghasilan lagu juga dapat menggalak keharmonian dan perpaduan kaum menerusi penghayatan serta kata-kata nasihat.

Jadi setiap lagu bermula dari lagu kanak-kanak, rentak tradisional, klasik, rock, dangdut dan moden pastinya mempunyai aura tersendiri.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 7:00 AM