Antara babak iklan yang dipercayai dilakonkan KJ
Antara babak iklan yang dipercayai dilakonkan KJ
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kesihatan yang kini bertindak sebagai penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin memberi bayangan bakal membintangi sebuah filem.

Khairy atau mesra disapa KJ bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai tawaran yang diterima itu.

"Sekarang ini saya sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak penerbit filem. Tunggulah pengumuman nanti," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai watak serta genre filem yang bakal dijayakan, KJ enggan berkongsi perkara itu terlalu awal, sebaliknya menunggu pengumuman rasmi.

"Kena tunggu, jangan 'spoil the surprise' (merosakkan kejutan itu)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Doa Selamat bersama anak-anak yatim daripada Rumah Cahaya Kasih Kota Damansara sempena pengumuman Hot FM sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia di Emporis Kota Damansara, semalam.

Terdahulu KJ mencuri perhatian netizen selepas muncul dalam satu iklan untuk jenama produk makanan terkenal.

Menerusi video yang dikongsikan di akaun Instagram miliknya, KJ berkongsi iklan pendek yang menunjukkan karakter dirinya sebagai seorang penghantar makanan.

KJ (kanan), AG, dan Farah Fauzana beramah mesra bersama Kanak-Kanak daripada Rumah Cahaya Kasih, Kota Damansara. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KJ (kanan), AG, dan Farah Fauzana beramah mesra bersama Kanak-Kanak daripada Rumah Cahaya Kasih, Kota Damansara. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dalam pada itu, KJ yang mengendalikan segmen Bekpes Hot bersama tiga lagi rakan penyampai lain iaitu Johan, AG dan Fara Fauzana meluahkan rasa bangga dengan pencapaian yang diraih Hot FM sebagai stesen radio nombor satu.

"Alhamdulillah sekali lagi Hot FM dinobatkan sebagai stesen nombor satu di Malaysia dan kita melihat walaupun dalam pasaran yang begitu sengit, apa yang dipersembahkan di Hot FM menepati cita rasa rakyat Malaysia.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada pendengar setia dan kami di Hot FM akan bekerja keras untuk menceriakan anda dan membawa kandungan yang terbaik.

"Salah satu strategi yang saya nampak sangat berjaya di Hot FM adalah penggunaan media sosial. Kita bukan hanya nombor satu dari segi stesen radio, tapi saya rasa nombor satu daripada segi sosial media," katanya.

Terdahulu, setia radio milik Media Prima Audio (MPA) itu berjaya mempertahankan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia apabila mencatatkan jumlah pendengar sebanyak 3.73 juta.

Menerusi kaji selidik Nielsen Consumer and Media View (CMV) yang dijalankan pada Julai 2022 sehingga Jun tahun ini, Hot FM sebagai radio berbahasa Melayu terus cemerlang menjadi pilihan pendengar di negara ini.

Dalam masa sama, KJ turut menyatakan rasa cinta terhadap kerjaya baharu yang diceburinya selama hampir lapan bulan dan bersedia untuk terus berkhidmat selagi diberi kepercayaan.

"Saya berterima kasih kepada pengurusan Hot FM dan rakan-rakan di konti iaitu AG, Johan dan Fara Fauzana menerima saya dengan hati yang terbuka. Saya rasa persembahan saya semakin okay… tak adalah 'kayu' sangat macam dulu.

"Saya gembira dengan Hot FM, selagi kepercayaan diberikan oleh pendengar dan rakan-rakan di Hot FM, saya akan kekal bersama dengan pasukan Bekpes Hot," katanya.

Ditanya mengenai perwatakannya yang semakin berbeza sejak menyertai keluarga Hot FM apabila terbabit dengan cabaran menari di TikTok, KJ memberitahu, dia sekadar menjadi diri sendiri dan bersikap terbuka.

"Saya rasa watak saya di Hot FM bukanlah sesuatu yang berpura-pura, ia semula jadi. Mungkin awal itu agak segan sikit, tapi saya semakin yakin menjadi diri saya di Hot FM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 12:40 PM