KHAIRY Jamaluddin (kiri) beramah mesra bersama Rapiei Hassan (berkerusi roda) ketika program turun padang penyampai stesen radio Hot FM di Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar
KHAIRY Jamaluddin (kiri) beramah mesra bersama Rapiei Hassan (berkerusi roda) ketika program turun padang penyampai stesen radio Hot FM di Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar
Najiy Jefri


Klang: Bekas Menteri Kesihatan yang kini bergelar penyampai radio Bekpes Hot di stesen radio Hot FM, Khairy Jamaluddin membuat kejutan istimewa apabila menziarahi peminat yang juga pendengar setia segmen terbabit, Rapiei Hassan, 80, di sini, hari ini.

Kehadiran Khairy bersama tiga penyampai lain iaitu Johan, Fara Fauzara dan AG disambut baik seluruh ahli keluarga Rapiei ketika mengunjungi kediamannya di Taman Sri Andalas, di sini.

Menerusi pertemuan yang diadakan, semua penyampai Bekpes Hot mengambil peluang beramah mesra dan sempat bersarapan bersama dengan ahli keluarga Rapiei.

Khairy atau mesra disapa KJ ketika ditemui berkata, lawatan itu bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan stesen radio Hot FM bersama-sama pendengar serta mendengar maklum balas secara langsung. 

"Hari ini kami berpeluang melawat kediaman pakcik Rapiei. Dia adalah peminat setia rancangan Bekpes Hot + KJ Jadi DJ selepas menerima mesej daripada anaknya yang maklumkan bapanya selalu  mendengar rancangan kami.

"Jadi saya dan rakan-rakan dari Bekpes Hot, AG, Johan dan Fara, datang menziarahinya. Dia sangat seronok dapat berjumpa dengan kita dan walaupun usianya 80 tahun, tapi mindanya masih lagi cergas dan tahu pelbagai mengenai politik serta dunia hiburan.

"Kami di Hot FM merasa sangat gembira kerana berpeluang menziarahinya hari ini," katanya.

Menurut KJ, pertemuan empat mata dengan pendengar wajar diteruskan sebagai salah satu cara untuk mendekatkan hubungan dengan peminat Bekpes Hot.

"Alhamdulillah rancangan Bekpes Hot + KJ Jadi DJ ini diterima dan didengari oleh setiap lapisan masyarakat sehinggalah ke golongan pesara. 

"Kami selaku penyampai radio di Bekpes Hot komited untuk terus menemani para pendengar dan menghangatkan pagi anda dengan sajian lagu-lagu serta info-info yang menarik serta berilmiah

"Ini antara langkah yang kami akan buat selepas ini, di mana kalau ada pendengar yang istimewa pada kita dan kalau ada kesempatan kami akan menziarahi peminat Bekpes Hot FM," katanya.

Selain barisan penyampai Bekpes Hot, acara yang berlangsung hampir sejam itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:00 PM