AKSI  Fizo Omar pada aksi persahabatan antara Dashing Bekpes Hot dari Hot FM dengan Kelab JDT.
AKSI Fizo Omar pada aksi persahabatan antara Dashing Bekpes Hot dari Hot FM dengan Kelab JDT.
Izz Laily Hussein


BUKAN mudah bagi mereka yang bukan bergelar pemain bola sepak untuk menjejakkan kaki ke stadium bertaraf antarabangsa iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor, apatah lagi berpeluang bermain di padang berkenaan.

Begitulah pengiktirafan yang diterima stesen radio nombor satu di Malaysia, Hot FM apabila berjaya melakar sejarah dijemput ke SSI sekali gus dipertemukan dengan kelab bola sepak nombor satu negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam satu perlawanan persahabatan, Rabu lalu.

Suasana di SSI menjadi gamat apabila Hot FM yang menurunkan pasukan Dashing Bekpes Hot itu berdepan JDT yang turut menampilkan aksi pemilik kelab itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Biarpun teruk 'dibelasah' hingga tewas 2 -15, rata-rata pemain yang mewakili Dashing Bekpes Hot tetap berpuas hati dengan pengalaman yang tidak dapat dibeli itu.

Penyampai Bekpes Hot, AG berkata, sebagai anak jati Johor, dia berbangga dapat turut serta dalam perlawanan persahabatan itu walaupun tersungkur dengan keputusan yang juga dianggap sebagai satu 'rekod sejarah' bagi satu perlawanan bola sepak.

"Kami berbesar hati dan berterima kasih kepada Tunku Ismail kerana mengizinkan Dashing Bekpes Hot beraksi di padang yang bukan calang-calang kerana ia antara yang terbaik di Asia.

"Kami bangga dapat menentang sendiri pasukan JDT pilihan TMJ dan kami berjaya 'mencipta rekod' kerana pasukan lain tidak pernah buat apabila dibolosi 15 gol.

"Kami mencari dan memberi peluang kepada mana-mana pasukan bola sepak terbaik nombor satu di mana saja untuk beraksi dengan kami kerana peluang untuk anda jaringkan gol besar amat cerah," kata AG bergurau.

Selain AG, Dashing Bekpes Hot menampilkan barisan penyampai radio Hot FM seperti Khairy Jamaluddin atau KJ, Johan, Fizi Ali serta selebriti seperti Tomok, Akim Ahmad, Atu Zero, Achey, Fizo Omar dan ikon sukan bola sepak tanah air, Hairuddin Omar atau Hai-O.

Pada perlawanan persahabatan itu, JDT turut menurunkan pemain dan bekas pemain, selain pengurusan dan kakitangan pasukan JDT seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Farizal Marlias serta ketua jurulatih JDT, Esteban Solari.

TUNKU Ismail bergambar bersama selepas perlawanan persahabatan antara Dashing Bekpes Hot dari Hot FM dengan Kelab Bola Sepak JDT.
TUNKU Ismail bergambar bersama selepas perlawanan persahabatan antara Dashing Bekpes Hot dari Hot FM dengan Kelab Bola Sepak JDT.

Dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan tidak mematahkan semangat barisan 'pemain' Dashing Bekpes Hot walaupun pada separuh masa pertama sudah dikeroyok dengan enam gol berbalas satu sebelum terus di'buli' dengan keputusan akhir 15 - 2.

Tomok dan pelakon, Aidil Aziz menjadi wira pasukan Dashing Bekpes Hot apabila berjaya membolosi gawang gol JDT yang dijaga penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias.

Bagi pelawak Atu Zero, dia tidak akan berfikir panjang sekiranya diberi lagi peluang untuk kembali ke SSI kerana terlalu teruja beraksi di stadium berkenaan.

"Sebenarnya saya pertama kali masuk ke stadium ini dan tidak boleh nak ungkap dengan kata-kata. Ini satu penghormatan buat saya dapat main di stadium yang mana saya memang cakap tidak sangka di Malaysia ada padang bertaraf antarabangsa begini.

"Rasa tidak mahu balik, nak duduk sini sebab suka sangat padang ini walaupun teruk kami dibelasah, tetapi ini sejarah di SSI ada rekod gol paling banyak. Teruja dan saya puas hati kalau dipanggil lagi, saya 'join' lagi," katanya sambil ketawa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio, Nazri Noran berkata, idea menganjurkan perlawanan persahabatan itu tercetus kerana 'team' Hot FM sememangnya menyintai sukan bola sepak, namun tidak menyangka dapat dipertemukan dengan pasukan JDT.

"Idea tercetus apabila Hot FM yang memang suka bola sepak berbincang untuk adakan perlawanan persahabatan, tetapi kami fikir nak bermain dengan mana-mana kelab bola sepak sahaja kerana ingin 'have fun', tidak sangka dimaklumkan Tunku Ismail berkenan mahu menemukan kelab JDT dengan Hot FM.

"Kami sangat terharu apatah lagi dapat bermain di Stadium Sultan Ibrahim, memang kami bangga. Ini adalah acara penutup Hot FM tahun ini yang paling bersejarah dan rasanya peluang ini hanya datang sekali seumur hidup," katanya.

Turut hadir pada acara itu Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali.

Nazri berkata, Hot FM menjadi stesen radio pertama di Malaysia yang mengadakan perlawanan persahabatan dengan JDT dan katanya, inisiatif itu juga bertujuan untuk mengukuhkan jenama Hot FM sebagai Stesen Radio No.1 di Malaysia serta sebagai penghargaan kepada pendengar setia Hot FM.

Perlawanan turut disiarkan secara langsung di radio Hot FM dengan kehadiran personaliti serta penyampai sukan TV3, Nazri Atari, selaku pengulas perlawanan.

Penyampai Hot FM yang lain, Fara Fauzana, Keymi dan Aisha turut bersama turun padang bagi menyokong pasukan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 6:30 AM