AG Hot FM
AG Hot FM
Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur : Penyampai radio Hot FM, AG, 42, teruja untuk berkongsi konti dengan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ yang bakal bergelar penyampai radio Hot FM mengendalikan segmen Bekpes Hot mulai 15 Februari ini.

AG atau nama sebenarnya, Muhammad Azmir Selamat berkata, sebelum ini dia pernah berjumpa KJ pada majlis atau acara saja.

"Kami tidak pernah berpeluang berjumpa dengan KJ sedekat ini. Jadi, tentunya saya sangat teruja dan tidak sabar untuk melihat sisi berbeza KJ.

"Selama ini kita semua kenal KJ sebagai ahli politik dan menteri. Dengan jawatan yang disandangnya ketika itu, beliau tentulah perlu membawa karakter serius.

"Jadi, mulai minggu depan, kita semua akan dapat dengar adakah KJ akan tampil dengan sisi dan karakter berbeza dan santai, sesuai dengan tugasnya sebagai penyampai radio," katanya.

AG berkata tidak sabar menantikan reaksi pendengar Hot FM, malah, mengaku terkejut dengan impak selepas Khairy bersetuju menyertai stesen radio di bawah kendalian Media Prima Audio (MPA) itu.

"Kita tidak sangka penangan KJ sangat dahsyat. Kita akui beliau ada ramai peminat dan aura dirinya sangat berbeza.

"Namun, kami tidak sangka, sejak KJ bersetuju menyertai Hot FM, maklum balas yang diterima cukup dahsyat. Pendengar nampaknya sudah tidak sabar untuk mendengar KJ ke udara. Saya juga yakin mereka akan suka dengannya.

"Selain itu, kemunculan KJ di radio akan membuatkan pendengar rasa lebih dekat dengan beliau, walaupun mereka hanya mendengar suaranya di corong radio," katanya.

Ditanya apakah segmen Bekpes Hot akan membawa kelainan sempena kedatangan Khairy, AG berkata, mereka akan mengekalkan kandungan sama, malah kehadiran Khairy dianggap sesuatu yang cukup istimewa untuk segmen itu.

"Kita akan kekalkan segmen sedia ada. Saya yakin orang akan mendengar Hot FM demi KJ. Walaupun KJ ada portfolio yang hebat dalam bidang politik, tetapi saya yakin beliau dapat menyesuaikan dirinya dengan mudah.

"Jika kita lihat latar belakang KJ, seni bukanlah sesuatu yang asing kerana beliau boleh bermain muzik. Sesekali kita boleh lihat KJ meluangkan masa menyanyi bersama ahli keluarganya. Jadi, saya yakin KJ tiada masalah untuk sesuaikan diri dengan dunia radio," katanya.

Sementara itu, gurauan Khairy ketika ditemuramah Johan, AG dan Datuk AZ Mizal dalam segmen Bekpes Hot yang dipancarkan Hot FM, kelmarin, menarik perhatian pendengar stesen radio popular itu.

Menerusi panggilan telefon ke konti Hot FM, Khairy cukup 'sporting' menjawab pertanyaan Johan, AG dan AC Mizal yang menggantikan Fara Fauzana yang sedang bercuti.

Malah, Khairy sempat mengusik mengaku dirinya Khalid Jamlus, bekas penyerang bola sepak negara dalam temuramah santai itu.

"Iya, ini Khairy lah, KJ. Yang dulu pernah jadi menteri, sekarang takda kerja," katanya.

Ketika ditanya Johan apakah Khairy sedia menjadi penyampai Hot FM, beliau menjawab:

"Nak jadi penyampai radio? Kena bangun awal? Bagi saya semak jadual. Free free free (ada masa lapang). Saya takda kerjalah," katanya sambil disambut sorakan Johan, AG dan Az Mizal.

Persetujuan Khairy menyertai Hot FM menjawab tawaran stesen radio itu kepadanya melalui surat terbuka di Instagram @hotfm976, minggu lalu, membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Sebaik Khairy mengesahkan bakal menjadi penyampai Hot FM, laman sembang kecoh dengan rata-rata pelayar internet teruja dan tidak sabar menunggu Khairy masuk ke konti stesen radio itu, mulai 15 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 12:28 PM