Ayie Elham, 24, dilantik sebagai Ikon Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada acara Majlis Ramah Mesra Alumni Aswara, semalam.
Ayie Elham, 24, dilantik sebagai Ikon Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada acara Majlis Ramah Mesra Alumni Aswara, semalam.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Floor88, Ayie Elham, 24, dilantik sebagai Ikon Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada acara Majlis Ramah Mesra Alumni Aswara, semalam.

Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah berkata, pengiktirafan itu adalah pencapaian yang cukup besar maknanya apatah lagi dia sendiri banyak belajar ilmu dari institusi terbabit.

"Pengiktirafan itu sangat berharga buat saya dan keluarga. Sejak saya mula belajar di situ pada 2016 sehingga tamat pengajian dan bergelar alumni, anugerah ini cukup besar maknanya kerana Aswara banyak mengajar saya erti kehidupan.

"Saya berharap akan dapat menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan tidak menconteng arang kepada gelaran itu. Jutaan terima kasih kepada Aswara kerana memberi penghormatan itu.

"Juga saya ingin ucapkan terima kasih kepada isteri, keluarga, rakan-rakan Aswara kerana mendoakan saya. Insya-Allah, saya akan cuba usahakan projek untuk alumni Aswara pada masa hadapan," katanya.

Ayie juga mengakui pencapaian itu bukan sekadar gelaran semata-mata sebaliknya amanah besar.

Justeru, dia akan menggalas kepercayaan terbabit untuk tunjukkan contoh baik.

"Antara tanggungjawab saya semestinya untuk mempromosikan Aswara di mana saya memang kerap lakukannya. Di situlah saya belajar bagaimana menjadi seorang manusia yang sangat berguna.

"Saya juga harus tunjukkan tingkah laku dan contoh yang baik kepada adik-adik, masyarakat dan rakyat Malaysia. Ia bagi mencerminkan Aswara adalah institusi terbaik yang mengeluarkan individu bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 5:28 PM