Aishah tersingkir di minggu ke 4 pada Konsert All Stars Gegar Vaganza minggu 4 di Auditorium MBSA, Shah Alam. FOTO ASWADI ALIAS
Aishah tersingkir di minggu ke 4 pada Konsert All Stars Gegar Vaganza minggu 4 di Auditorium MBSA, Shah Alam. FOTO ASWADI ALIAS
Ramlah Zainal


 

 Shah Alam : "Saya agak gembira bila tersingkir kerana boleh sambung tidur esok," kata Datuk Aishah di sidang media konsert minggu keempat All Stars Gegar Vaganza (ASGV) selepas tersingkir di program itu malam tadi.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 58, berkata, dia sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuan bersama pasangan duetnya, Vince Chong.

 "Saya rasa ramai juga doa orang ramai yang makbul untuk saya keluar dari program ini," katanya.

Pada konsert di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, Aishah yang menyampaikan lagu Terlanjur Cinta berduet dengan Vince gagal menarik perhatian barisan juri profesional dengan mendapat markah terendah sebanyak 43.75 peratus.

Sementara itu, juri tetap dari Indonesia, Datuk Hetty Koes Endang tidak menafikan kehebatan vokal Aishah tetapi berpendapat persembahan penyanyi itu kurang dari segi emosi ketika menyampaikan lagu berkenaan.

"Lagu Terlanjur Cinta mungkin baru buat anda. Dari segi vokal memang tidak diragukan tetapi ada emosi yang tidak kena.

"Aishah perlu tingkatkan latihan lagi kerana lagu cinta ini perlu tenang untuk disampaikan dan jangan emosi," katanya.

Sementara itu, persembahan mantap Noryn Aziz berduet dengan Liza Aziz berjaya menawan hati juri apabila dia menduduki tangga teratas dengan markah sebanyak 85.25 peratus.

Tempat kedua menjadi milik Liza Hanim yang berduet dengan Ziana Zain dengan markah sebanyak 85 peratus.

 Manakala, persembahan hebat Ayai yang berduet dengan Datuk M Nasir juga turut memikat juri dengan berada di tempat ketiga dengan kutipan markah sebanyak 83.25 peratus.

 Selain Noryn, Liza dan Ayai, barisan peserta yang akan  mara ke peringkat seterusnya pada minggu kelima ialah Naqiu, Nikki Palikat,Hady Mirza, Azharina, Zamani, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Ezad Lazim, Aliff Aziz dan Tomok.

Selain Hetty, program popular ASGV menampilkan barisan juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Syafinaz.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 4:53 PM