AISHA pertaruh single terbaharunya berjudul Ternoktah.
AISHA pertaruh single terbaharunya berjudul Ternoktah.
Ramlah Zainal


AISHA Retno antara penyanyi muda berbakat besar yang semakin menyinar di persada muzik tanah air ketika ini.

Malah, bintang yang digilap bakatnya menerusi program realiti Big Stage musim ketiga ini juga tidak menang tangan kerana agenda seninya cukup padat ketika ini.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, dia bersyukur dengan apa yang dikecapinya ketika ini.

"Alhamdulillah, saya memang mahu buat diri sibuk bekerja dan tahun ini, saya dapat banyak undangan persembahan dan konsert.

"Saya juga sudah mencuba pelbagai cabang dalam bidang seni seperti berlakon, mengacara dan sebagainya.

"Kini, saya mahu kembali fokus pada nyanyian dengan mempromosikan single terbaharu berjudul Ternoktah dan album mini tahun ini," katanya.

Mengenai lagu terbarunya berjudul Ternoktah, Aisha berkata, ia ada kaitan dengan kisah percintaannya yang tidak kesampaian sebelum ini.

"Sebanyak 60 peratus adalah kisah perjalanan percintaan saya dengan beberapa jejaka yang ditemui tahun ini.

"Selain itu, lagu ini juga adalah luahan emosi dan perasaan pada situasi perpisahan yang banyak berlaku membabitkan ramai pasangan ketika ini," katanya.

Aisha berkata, Ternoktah juga mengajak peminat merenung erti sebenar cinta dan kepahitan yang mengiringi kehidupan kita.

AISHA tampil dengan imej segar ketika sidang media dan ramah mesra di pusat beli-belah di Petaling Jaya.
AISHA tampil dengan imej segar ketika sidang media dan ramah mesra di pusat beli-belah di Petaling Jaya.

"Jika kecewa, kita perlu mengambil tindakan sewajarnya dan terus berusaha mencari kebahagiaan pada masa akan datang.

"Saya harap lagu Ternoktah boleh menjadi sumber inspirasi pada peminat untuk mengambil tindakan lebih positif jika berlaku perpisahan," katanya.

Lagu Ternoktah mendapat sentuhan komposer Firdaus Rahmat dan Omar K, manakala liriknya hasil tulisan Aisha dan Hanis Rafi.

Sementara itu, ditanya imej rambut pendeknya, Aisha berkata, dirinya kini berada dalam fasa 'move on' dan membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

"Bukan sekadar 'move on' dari percintaan yang tidak kesampaian, saya juga memotong rambut pendek dan mewarnakannya merah untuk tampil dengan imej yang lebih 'fresh' (segar) kerana kita sudah masuk bulan September dan menuju penghujung tahun.

"Perubahan imej ini untuk membantu saya lebih fokus dengan perkara lain berbanding hal percintaan," katanya yang popular dengan lagu W.H.U.T (Wanna Hold You Tight) dan Sutera.

Mengulas tindakan segelintir selebriti luar negara seperti Taylor Swift dan Olivia Rodrigo yang sering menghasilkan lagu untuk bekas kekasih, Aisha mengakui dia memilih untuk berkias dalam penghasilan lagu sedemikian.

"Walaupun mereka penyanyi dan idola saya, namun saya lebih suka berkias untuk menghasilkan lagu buat bekas kekasih.

"Contohnya lagu Ternoktah ini ada kaitan dengan kisah percintaan saya sebelum ini, tetapi saya belum berani mendedahkan siapa jejaka terbabit walaupun lagu ini ditujukan kepadanya," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai album mininya, Aisha berkata, dia akan memuatkan beberapa lagu baharu dan lama seperti Pencarianku, Jarak, Sutera serta empat lagu baharu.

"Saya mahu lihat sambutan dari peminat dulu sebelum tambah lagi lagu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 6:30 AM