AISHA Retno membuat persembahan dengan lagu Sutera pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Nur Raihana Alia
AISHA Retno membuat persembahan dengan lagu Sutera pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL38) di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Nur Raihana Alia
Najiy Jefri

Kuala Lumpur : Aisha Retno tampil melakukan gimik 'terbang' ketika membawakan lagu Sutera pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Kemunculan kali pertama Aisha di pentas berprestij itu turut dipenuhi dengan jeritan suara peminat yang terkesima dengan gimik yang dipersembahkan.

Lebih istimewa, Aisha turut mendapat 'standing ovation' kedua daripada penonton.

Aisha yang mempertaruhkan lagu ciptaannya bersama MFMF mengakui sudah berhabis ratusan ribu Ringgit bagi menjayakan persembahan terbaik malam ini.

"Anggaran kos keseluruhan boleh dikatakan mencecah enam angka," katanya kepada Harian Metro.

Pada acara berprestij itu, persembahan Aisha turut diiringi 22 penari yang lincah dan bertenaga dengan tema Jawa yang dibawakan.

Mengakui 11 finalis lain mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri, Aisha berkata, tiga lagu yang memberi saingan kepada lagu Sutera adalah Kalam nyanyian Shiha Zikir, Santai (Naqiu) dan Kucuma (Wany Hasrita/Afieq Shazwan)

"Ada tiga lagu yang memberi saingan seperti Kucuma, Kalam dan Santai.

"Bagi kategori vokal pula, sudah tentulah Aina Abdul, Ernie Zakri dan Marsha Milan. Malah penyanyi lain yang bertanding juga hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 10:31 PM