SEBAHAGIAN daripada 3,000 penonton yang hadir.
SEBAHAGIAN daripada 3,000 penonton yang hadir.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Festival Atas Angin yang berlangsung baru-baru ini menampilkan sesuatu yang belum pernah dibuat mana-mana penganjur.

Ini kerana penganjurnya, Atas Angin membuat 'kerja gila' dengan menempatkan empat pentas supaya persembahan dapat dijalankan serentak oleh 75 band tempatan.

Acara yang dimulakan seawal jam 9 pagi itu menampilkan empat pentas membabitkan Indie Nasional, Sound Loud, Burn Tau dan Kongsi Suara di mana setiap penggemar genre tertentu dapat menumpukan perhatian mereka ke pentas yang disediakan.

Lebih menarik, festival kali ini tidak hanya mengumpulkan band indie, tetapi turut disertai nama yang tidak asing dalam arena muzik arus perdana seperti IAmNeeta, 6ixth Sense, Hyper Act, Drama Band, Kugiran Masdo dan penyanyi solo, Amir Jahari.

Kredit perlu diberikan kepada Kugiran Masdo kerana berjaya menyatukan penggemar muzik dari genre 'lebih keras' untuk turut sama menonton persembahan mereka. Tidak kira mereka membawa imej skinhead, punk atau kaki metal, persembahan Kugiran Masdo mencetuskan suasana meriah bak kenduri kahwin dengan lagu yang dibawa dinyanyikan bersama-sama penonton.

MADAMME diketuai Josiah Hogan yang juga pelakon popular.
MADAMME diketuai Josiah Hogan yang juga pelakon popular.

Selain Kugiran Masdo, kumpulan yang mengetengahkan imej skinhead dan muzik oi!, ACAB turut menjadi tumpuan dengan pentas Sound Loud ketika itu dipenuhi pengunjung menyebabkan tiga pentas lain sedikit lengang.

Festival Atas Angin kali ini adalah edisi kedua dianjurkan di mana tahun lalu, penganjur mengadakan acara berkenaan di lokasi pinggir ibu kota dengan dua pentas berasingan.

Pujian boleh diberikan untuk penganjuran tahun ini kerana ia diadakan di pusat beli-belah di ibu kota yang dilihat lebih mudah diakses kerana terdapat banyak pilihan pengangkutan awam selain kemudahan ruang parkir lebih selamat.

Malah, hujan kira-kira jam 5 petang tidak melunturkan semangat pengunjung dan ruang untuk berteduh juga tidak menghalang pandangan pengunjung ke persembahan di pentas.

KUGIRAN Masdo antara yang mendapat sambutan.
KUGIRAN Masdo antara yang mendapat sambutan.

Bagaimanapun, disebabkan empat pentas bergegar serentak, pengunjung dilihat terpaksa berbahagi masa dan sedikit mengecewakan apabila ada band kegemaran beraksi serentak di pentas berasingan.

Selain itu, timbul juga suara kurang berpuas hati apabila ada beberapa band 'legend' yang bermain pada sebelah petang, berbanding kebiasaannya mereka diberi slot pada waktu malam dalam mana-mana festival muzik.

Tahun lalu, tujuh band yang membuat persembahan pada waktu malam mendapat tumpuan lebih adil kerana penganjur menjalankannya secara bergilir-gilir di mana penonton dapat berkumpul di hadapan satu pentas saja.

Selepas itu mereka boleh beralih ke pentas berikutnya untuk persembahan band seterusnya yang ketika itu dihidangkan aksi penutup oleh Da Vagabonds.

ACAB pelopor muzik oi! tempatan.
ACAB pelopor muzik oi! tempatan.

Berbeza pada edisi kali ini di mana acara kemuncak pada waktu malam dijalankan serentak di empat pentas menyebabkan jumlah penonton di hadapan pentas tidak begitu meriah walaupun keseluruhan penonton mencecah 3,000 orang.

Keadaan ini sedikit tidak adil untuk band terakhir di setiap pentas seperti Oh Chentaku di Sound Loud; Amir Jahari di Indie Nasional dan Massacre Conspiracy di Burn Tau.

Bagaimanapun, usaha Atas Angin mengumpulkan sebanyak mungkin penggiat muzik indie tempatan perlu dipuji kerana ia bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dalam keadaan kos penganjuran yang semakin mahal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 6:30 AM