NADIN yang kian digilai turut beraksi di TAPAUfest 2023.
NADIN yang kian digilai turut beraksi di TAPAUfest 2023.
Georgie Joseph


SELEPAS kejayaan menarik 3,000 pengunjung tahun lalu, TAPAUfest kembali berlangsung pada 7 dan 8 Oktober depan di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak.

TAPAUfest menjemput komuniti indie Asia Tenggara untuk #LepakLenggong bersama artis indie ternama dan berpotensi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan tema #SerumpunBerpesta.

Pengarah Kreatif TAPAUasia Sdn Bhd, Ahmad Faris berkata, strategi mereka adalah menetapkan perincian lebih mantap berbanding mengejar untuk memperbesar festival itu semata-mata.

"Daripada taasub cuba nak jadikan festival kami lebih besar dan besar setiap tahun, kami buat keputusan untuk beri lebih perhatian kepada butiran kecil," katanya.

Tahun ini TAPAUfest juga memberi penghormatan kepada wanita yang membentuk 'scene' itu. Ia termasuk kerjasama dengan Newruul, seniman muda di sebalik rekaan poster dan barangan cenderamata rasmi.

Sementara itu, senarai penghibur di PENTAS (pentas muzik) pula menampilkan ramai bakat wanita yang sedang menempa nama.

Persembahan hari pertama dimulakan dengan band Mascot yang menawarkan aksi bertenaga serta agresif. Kemudian diteruskan kumpulan reggae dub eksperimental dari Indonesia, Rub Of Rub.

Membuka persembahan malam adalah duo elektronik Wobbebong. Bersenjatakan tenaga dan semangat ingin mencuba, gadis ini pasti membawa keseronokan dengan sentuhan eksentrik dalam set mereka.

Turut ditampilkan adalah band legenda dari Singapura, Force Vomit yang baru menyambut ulang tahun ke-20 album kedua mereka, Give It Up For The Trustfund Rockers dalam bentuk piring hitam.

Band rock, Jemson kemudian mengambil alih pentas dengan memberi penghormatan kepada era keemasan 'rock kapak' Malaysia sambil menyuntik bunyi moden dan elemen humor mereka yang tersendiri.

Menutup tirai hari pertama adalah penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah yang kian memenangi hati jutaan peminat terutama dari Indonesia dan Malaysia.

Dengan karya terbaharunya Rayuan Perempuan Gila dan Semuanya Dirayakan mendapat sambutan hangat, persembahan Nadin berlatarkan tasik pastinya menjanjikan pengalaman cukup istimewa.

Persembahan hari kedua dimulakan antara kugiran Indonesia yang menarik perhatian pada masa kini, The Jansen. Dikenali sebagai kugiran punk mid-tempo era 70-an dari Bogor, kumpulan ini meledak selepas album mereka, Banal Semakin Binal keluar tahun lalu.

Seterusnya band dari Ipoh, Muck akan naik ke pentas sebagai penghormatan kepada wira tempatan. Ditubuhkan pada 1994, band ini dianggap sebagai sebuah kumpulan perintis indie Malaysia.

Door Plant bakal melakar sejarah sebagai band pertama dari Thailand yang memanaskan pentas TAPAUfest. Dengan membawa irama lepak dan santai ke Malaysia yang menjadi satu daripada destinasi kembara 'tournament' mereka.

Dengan membawakan genre neo-folk, Bayangan yang biasanya bergerak secara solo, kini ditemani band lengkap yang pasti membawa persembahan memukau.

Tidak ketinggalan, penanda generasi masa kini dari Indonesia iaitu Lomba Sihir. Sudah tentu peminat ingin turut serta merayakan karya mereka dengan menari, tersenyum sambil hanyut bersama dalam karya cinta-benci di kota ia membesar serta tumbuh.

DOOR Plant dari Thailand.
DOOR Plant dari Thailand.

Zee Avi pula akan menutup tirai festival itu. Cukup popular dengan lagu hit termasuk Kantoi dan Bitter Heart kemunculannya dengan lagu melankolik paling indah dan tepat untuk melabuhkan tirai TAPAUfest 2023.

Persembahan muzik di PENTAS bermula pada jam 5 petang bagi memberikan masa kepada pengunjung festival untuk meneroka Lenggong yang penuh dengan keindahan alam serta destinasi makan dan minum.

TAPAUfest 2023 dibawakan TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok.

Ia turut disokong Kementerian Komunikasi dan Digital melalui MyCreative Ventures (MYCV). Maklumat tiket menerusi www.TAPAUfest.asia atau ikuti @TAPAUfest di semua media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 6:12 AM