RANCANG konsert besar-besaran tahun hadapan.
RANCANG konsert besar-besaran tahun hadapan.
Ridzuan Abdul Rahman


SATU demi satu kumpulan indie tampil membuka pentas dengan mengadakan persembahan sebaik kebenaran diberikan kerajaan.

Selepas kumpulan Hujan, Masdo dan Iqbal M, kini giliran A.C.A.B pula beraksi menghiburkan peminat mereka.

Bezanya mereka memilih mengadakan persembahan secara maya menerusi gig virtual A.C.A.B. Live After Lockdown yang berlangsung pada Sabtu ini.

Penyanyi dan pemain gitar utamanya, Major Max atau nama sebenarnya Megat Hafiz berkata, gig ini diadakan sebagai mengenang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak tahun lalu dan berakhir pada 10 Oktober lalu.

"Perdana Menteri membuat pengumuman ini pada 11 Oktober 2021 secara rasminya rentas negeri seluruh negara sudah dibenarkan.

"Namun, pihak A.C.A.B. band belum berani mengambil risiko untuk menganjurkan gig fizikal kerana memikirkan walaupun negara kita sudah bebas daripada PKP, namun kita belum bebas sepenuhnya daripada dijangkiti wabak Covid-19.

"Justeru, kami ingin menganjurkan kemungkinan buat kali terakhir gig secara virtual yang bertemakan 'Gig After Lockdown'," katanya.

Menurutnya, pelbagai keistimewaan akan ditampilkan dalam persembahan mereka seperti permintaan lagu A.C.A.B oleh peminat.

"Pada malam itu juga akan diadakan cabutan bertuah yang mana hadiahnya adalah 'record player turntable' yang ditandatangani ahli band A.C.A.B.

A.C.A.B tampil dengan gig istimewa sebagai mengenang PKP.
A.C.A.B tampil dengan gig istimewa sebagai mengenang PKP.

"Juga akan diberikan beberapa barangan peribadi atau 'pre-loved' daripada ahli band A.C.A.B. bagi menghargai sokongan peminat.

"Gig virtual anjuran ACAB Productions ini berlangsung secara 'live' dalam Private Group Gig (Facebook) bermula jam 9 malam," katanya.

Maklumat lanjut berkaitan gig ini boleh didapati menerusi Instagram rasmi acab.my serta Facebook Megat Hafiz Mohammad.

Megat berkata, A.C.A.B. juga dalam perancangan untuk mengadakan konsert berskala besar di Stadium Malawati, Shah Alam pada tahun hadapan.

"Bagi merancakkan lagi kehadiran konsert itu nanti, A.C.A.B. bakal mengeluarkan album kompilasi terdahulu iaitu Eastern Oi! The Rarities - Compilation of Demo, E.P.s, Singles & Tributes.

"Ia bakal memuatkan lagu dari Demo '95" A.C.A.B, dua E.P. iaitu Unite & Fight dan Anti-Racist, dua album single, We Are The Skins dan Streets Of Uptown serta dua lagu tribute iaitu Rintangan Hidup Dunia.

"Ia terdapat dalam album Tribute To Rusty Blade dan Musibah dalam album Tribute To Sweet Charity dari kumpulan underground satu ketika dulu dan semua lagu ini bakal dimuatkan dan dikeluarkan dalam sebuah album kompilasi," katanya.

Menurutnya, album Eastern Oi! The Rarities dari A.C.A.B. bakal diterbitkan oleh Edy J. Records.

Selain Megat, A.C.A.B turut dianggotai Eddy J (gitar), Anas (bass) dan Zul (dram).

Mereka dikenali sebagai kumpulan skinhead, Oi! Malaysia yang terawal dan ditubuhkan pada penghujung 1994.

A.C.A.B mencipta jenama, gaya dan genre tersendiri yang dikenali sebagai Eastern Oi, manakala lagu mereka berjudul Skinhead 4life tersebar ke seluruh dunia sehingga dimainkan beberapa kumpulan dari pelbagai negara Eropah dan Amerika Latin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 6:21 AM