A.C.A.B bawakan semua lagu daripada album ke empat, kemunculan nyata sudah berevolusi
A.C.A.B bawakan semua lagu daripada album ke empat, kemunculan nyata sudah berevolusi
Riadz Radzi

APA yang menarik mengenai band A.C.A.B ini?

Pertama, mereka cukup sinonim dengan skinhead dan muzik oi! ketika di awal penubuhannya pada 1994.

Kedua adalah maksud A.C.A.B itu sendiri. Pada mulanya ia adalah singkatan kepada maksud tertentu yang saya fikir biarlah hanya diketahui peminat mereka sendiri. Dan, kini ia ditukar kepada All Colours Are Brothers.

Ketiga, hala tuju muzik A.C.A.B juga sudah berubah. Bermula dengan muzik oi! dan kemudian dikenali sebagai pelopor eastern oi!, kini A.C.A.B lebih seronok dengan indie rock, street rock dan heavy metal.

Baru-baru ini, A.C.A.B yang dianggotai Megat Hafiz (penyanyi dan pemain gitar), Eddy J (gitar), Anas (bass) dan Zul (dram) tampil dengan persembahan yang dinanti-nantikan peminat mereka iaitu Bangun Showcase 2023 di Auditorium Bentley Music, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

A.C.A.B antara nama besar dalam kelompok band underground sejak dulu.
A.C.A.B antara nama besar dalam kelompok band underground sejak dulu.

Menariknya mengenai showcase ini ialah A.C.A.B membawakan semua lagu dalam album keempat mereka, Bangun iaitu Bangun, Hasutan Syaitan, Kehampaan, Perjuangan, Malapetaka, Sengketa, Berganding Tangan, Milik Kita dan Genggam.

Album yang diterbitkan pada 2004 ini adalah satu-satunya album penuh berbahasa Melayu A.C.A.B. Dua tahun sebelum itu mereka menghasilkan album Orang Timur iaitu album tribute kepada band rock legenda, SYJ / Sofea di mana mereka merakamkan semula lagu-lagu band dari Ipoh itu.

Menonton showcase itu sebenarnya memberi satu rasa yang berbeza. Sebahagian besar penonton hadir dengan imej mods dan skinhead seperti berkepala botak, memakai but Doc Mart, 'suspender', kemeja kotak-kotak atau 't-shirt' dan jaket seperti mana biasa kita tengok dalam persembahan band oi! Namun, A.C.A.B pada malam itu berbeza. Mereka sudah berevolusi kepada muzik heavy metal terutama dari segi riff gitar dan solonya.

Bagaimanapun, liriknya masih lagi dalam skala muzik oi! iaitu terus kepada maksud dan 'straight forward' selain dinyanyikan dalam 'range' kebiasaan lagu-lagu oi! dan street punk.

KEMUNCULAN A.C.A.B dinantikan peminatnya.
KEMUNCULAN A.C.A.B dinantikan peminatnya.

Malam itu, A.C.A.B turut membuat kejutan apabila mengundang penyanyi SYJ, Amir dan bersama menyanyikan lagu Orang Timur.

Megat mengakui, SYJ banyak memberi pengaruh terhadap A.C.A.B dalam muzik rock. Justeru, kehadiran Amir yang sanggup datang dari Ipoh pada malam itu amat-amat dihargainya.

A.C.A.B kemudian memainkan lagu-lagu seperti We Are The Youth, We Are A.C.A.B dan Where Have All The Bootboys Gone.

Yang pasti, showcase ini membuktikan A.C.A.B adalah antara nama besar dalam industri muzik tanah air. Mereka memiliki kelompok peminat yang luas dan tersendiri.

Jadi, tidak mustahil mereka mampu untuk tampil dengan konsert besar selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 6:00 AM