Refal Hady.
Refal Hady.
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Bintang popular Indonesia, Refal Hady menjelaskan hubungannya dengan gandingannya dalam filem Ketika Berhenti Di Sini iaitu Prilly Latuconsina hanya sekadar rakan dalam industri hiburan. 

Refal ketika ditemui menafikan gosip cintanya bersama pelakon wanita itu dan menjelaskan hubungan mereka atas dasar profesional dalam menjayakan watak dalam filem itu. 

"Dia sangat berfikiran terbuka dan kami bercanda perkara yang sama, hal-hal yang kecil. Saya dan Prilly berteman dan juga berhubungan baik. Kita juga ada kerjasama yang sangat okay.

"Jadi, kami berdua memang sangat selesa. Mungkin orang tengok keselesaan itu sebagai suatu yang istimewa antara kami dan kami tak boleh cakap apa-apa," katanya.

Refal berkata, dia bukan hanya selesa bekerjasama dengan Prilly, tetapi juga dengan pelakon lain seperti Bryan Domani, Lutesha dan Sal Priadi. 

"Keserasian kami dalam filem ini juga berlaku secara semula jadi, bukan hanya dengan Prilly, tapi juga dengan Bryan dan juga pelakon yang lain. Kami semua seperti satu keluarga, jadi antara kami sudah tiada sempadan," katanya.

Refal hadir ke sini bagi mempromosikan filem arahan Umay Shahab itu. Filem genre drama dan romantis itu dikatakan mampu membuatkan penonton larut dalam emosi.

Refal berkata, dia teruja melihat sambutan luar biasa daripada peminatnya di sini. 

"Ini kali keenam saya ke sini. Pastinya saya teruja dan tidak sabar untuk penonton di sini menonton filem kita. Kerana secara peribadinya saya merasakan filem ini banyak sangat perasaan yang saya tidak dapat luahkan sebelum ini.

"Ternyata menerusi filem ini, saya dapat pelbagai macam perasaan yang selama ini saya tahan. Antaranya adalah perasaan sedih, kadang kala kita merasakan kita perlu melupakan saja ia berlalu. Perasaan itu yang saya lalui apabila melihat foto orang yang saya sayang, jadi di filem ini semua perasaan itu saya dapat luahkan.

 

"Di filem ini juga saya merasakan kita bisa menghargai semua yang kita ada. Ini adalah satu projek yang sangat dekat dengan kehidupan peribadi saya," katanya yang juga sudah kehilangan ibu dan bapanya. 

Ketika Berhenti Di Sini yang mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak kelmarin. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 7:57 PM