MURALI (kanan) bersama dua penulis skrip ketika membuat laporan polis.
MURALI (kanan) bersama dua penulis skrip ketika membuat laporan polis.

Kuala Lumpur: “Saya rasa tidak adil apabila tidak dibenarkan bersuara sedangkan semuanya untuk pembangunan filem negara,” kata pengarah filem dan drama Murali Abdullah berhubung kejadian pengawal keselamatan menegurnya ketika mahu meluahkan perasaan dalam sesi dialog, baru-baru ini.

Menurut Murali, nada suara tinggi bukan bermaksud dia sedang marah, tetapi mikrofon digunakan tidak berfungsi sehingga suaranya tidak kedengaran apabila berada jauh daripada ahli panel.

“Saya mahu perjuangkan nasib kru produksi dan semua terbabit dalam perfileman. Jika luahan atau pandangan kami tidak diterima, bagaimana industri mahu membangun.

“Memang saya kesal dengan tindakan presiden beberapa persatuan seni di negara kita seolah-olah mengabaikan kebajikan ahli,” katanya kepada Harian Metro.

Murali memberitahu dia terpanggil untuk menyertai program Apa Lagi Industri Mahu? yang dianjurkan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) adalah untuk membantu pihak kru produksi dapatkan hak masing-masing terutama berhubung isu keselamatan dan kebajikan.

“Apabila kita cuba bersuara, tetapi ditegur, ini bermaksud suara kita seperti tidak mahu didengar dan apa guna mahu mengadakan sesi dialog.

“Selepas kejadian itu, saya tampil membuat laporan polis bersama dua penulis skrip di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang kerana merasakan keselamatan terancam apabila diugut.

“Tak sepatutnya ada ‘bouncer’ untuk mengugut dan apa yang saya luahkan semuanya membabitkan isu atau masalah industri,” katanya.

Sementara itu, Murali meminta presiden persatuan yang tidak membuat kerja seharusnya meletakkan jawatan jika mahu melihat pembangunan industri filem terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 10:20 AM