FILEM Kukira Kau Rumah bakal menemui penonton bermula hari ini.
FILEM Kukira Kau Rumah bakal menemui penonton bermula hari ini.
Najiy Jefri

SEJAK filem Kukira Kau Rumah menemui penonton di Indonesia pada 3 Februari lalu, filem yang dibintangi pelakon hebat, Prilly Latuconsina dan Jourdy Pranata itu berjaya mencipta fenomena di negara itu.

Buktinya, selepas 11 hari ditayangkan, filem arahan Umay Shahab itu ditonton hampir dua juta penonton di Indonesia.

Berita gembira itu diumumkan Prilly yang juga penerbit filem berkenaan.

"Seramai 1,831,046 orang sudah menonton filem ini dalam tempoh 11 hari tayangan. Jadi sempena bulan kasih sayang ini (Hari Kekasih) apa kata anda ajak teman istimewa untuk menonton filem ini di panggung wayang," katanya.

Mengakui watak Niskala yang dijayakan dalam filem itu menuntut pelbagai cabaran baru, Prilly bersyukur apabila rata-rata penonton teruja dengan watak yang dibawakan.

Melihat kepada tema utama filem ini yang mengangkat isu kesihatan mental atau gangguan bipolar, Prilly berkata, filem terbabit sebenarnya lebih sekadar gambaran seseorang yang memiliki gangguan mental semata-mata.

"Kita kadangkala menganggap seseorang yang ada dalam hidup sebagai rumah, tempat kita mampu menjadi diri sendiri, tapi malangnya tidak.

"Saya juga berdepan pelbagai cabaran ketika membawakan watak Niskala yang menghidap masalah gangguan bipolar.

"Pada awalnya saya tak tahu mengenai penyakit ini secara terperinci. Jadi saya mula mengkaji dan membaca mengenai masalah gangguan mental ini. Selepas saya faham mengenai masalah ini, saya mula berhubung dengan pesakit gangguan bipolar untuk mengetahui lebih banyak maklumat dan pengalaman yang mereka lalui," katanya.

Sementara itu, Jourdy berkata, pada awalnya babak yang sepatutnya dilakukan tidak banyak walaupun membawa peranan watak utama.

Bagaimanapun, disebabkan penggambaran terpaksa dihentikan akibat peningkatan kes Covid-19, dia kemudian terkejut apabila komitmennya dalam filem itu ditambah dan dikembangkan.

GANDINGAN Prilly dan Jourdy berjaya menarik jumlah penonton yang tinggi ke pawagam.
GANDINGAN Prilly dan Jourdy berjaya menarik jumlah penonton yang tinggi ke pawagam.

"Kalau diikutkan watak saya sedikit saja dalam filem ini iaitu sekadar menjadi teman lelaki kepada Prilly. Namun, sebaik penggambaran kembali bermula selepas tertunda kerana Covid-19, saya diberikan skrip baru dan banyak babak baru ditambah.

"Saya ada bertanya kepada Umay apa yang membuatkan watak saya dikembangkan sedangkan saya tidak pernah mendapat kepercayaan sebesar ini sebelum ini, tapi Umay meyakinkan saya dan beritahu saya untuk melakukan watak ini sehabis baik.

"Pada awalnya memang agak takut kerana filem ini mengangkat isu yang berat. Tambahan saya juga boleh dianggap pelakon baru dan masih hijau dalam bidang seni," katanya.

Filem ini adalah adaptasi dari sebuah lagu yang mempunyai judul yang sama dinyanyikan oleh Amigdala.

Berdurasi selama satu jam 30 minit, filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Niskala (Prilly Latuconsina) yang menghidap masalah gangguan bipolar dan mempunyai masalah dalam kehidupan sosialnya.

Gadis ini kemudian bertemu dengan seorang pemuda bernama Pram (Jourdy Pranata) yang sering merasa kesunyian sejak bapanya meninggal dunia dan ibunya pula sibuk bekerja.

Pada awalnya Pram tidak mengetahui bahawa gadis cantik itu menghidap gangguan bipolar yang sering mengalami perubahan emosi. Mereka berdua akhirnya menjalin hubungan rapat.

Kehidupan Niskala berubah secara drastik selepas berkawan dengan Pram dan gadis itu sering melanggar janji yang dibuat dengan ibu dan sahabatnya.

Filem ini mula ditayangkan di Malaysia bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 6:00 AM