Mira dan Refal Hady teraju Cinta Tak Pernah Tepat Waktu
Mira dan Refal Hady teraju Cinta Tak Pernah Tepat Waktu
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular, Mira Filzah diumumkan antara pelakon yang bakal membintangi filem terbaharu arahan Hanung Bramantyo berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.

Mira, 30, atau nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia teruja dan bersyukur apabila terpilih untuk terbabit dalam filem itu.

"Sejujurnya, saya berasa sangat teruja, terharu dan bersyukur dapat terbabit di dalam filem ini kerana sememangnya untuk melebarkan sayap ke Indonesia sudah menjadi Impian saya sejak dahulu lagi.

"Jadi, apabila dipilih untuk terbabit di dalam filem ini dan bekerjasama dengan sutradara tersohor Indonesia, Hanung Bramantyo, satu kebanggaan buat saya," katanya.

Mira bersama barisan pelakon dan pengarah
Mira bersama barisan pelakon dan pengarah

Pengumuman itu dibuat pada majlis sidang media di Yogyakarta, semalam.

Sementara itu, penerbit Seven Skies Motion, Azlin Hilda Abdul Latiff berkata impian menerbitkan filem adaptasi novel ini sudah dirancang sejak 2021 namun usaha pihaknya tergendala kerana pandemik.

"Alhamdulillah, impian ini terlaksana dan saya rasa sangat gembira. Semoga perjalanan penggambaran filem ini berjaya dan semuanya dipermudahkan," katanya.

Filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu adalah adaptasi novel terlaris karya Phutut EA turut dibintangi oleh pelakon Refal Hady, Nadya Arina dan Carissa Perusset.

Filem yang diterbitkan oleh Dapur Film dengan kerjasama Seven Skies Motion dan K Studio akal memulakan penggambaran bulan ini dan bakal tayang pada tahun depan.

Filem ini juga bakal menampilkan lagu tema ciptaan komposer muzik tersohor, Melly Goeslaw dan dinyanyikan oleh Aina Abdul dan Fabio Usher.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 3:59 PM