BARISAN pelakon utama Tentang Hati Dia.
BARISAN pelakon utama Tentang Hati Dia.
Nurul Sabrina Jamali


TV3 sering menjanjikan drama hebat yang menarik perhatian penonton menerusi beberapa slot khas yang disediakan.

Selami kisah sedih anak gadis kampung yang terpaksa menempuh seribu satu ujian di usia muda menerusi drama Tentang Hati Dia di slot Akasia.

Manakala slot Samarinda pula bakal meningkatkan adrenalina penonton dengan kisah seorang wanita tersepit dalam merahsiakan salah satu peristiwa pembunuhan bersiri menerusi drama Obsesi Dia.

Sementara Lestary pula, menghidangkan drama bertajuk Keria Women memaparkan kegigihan wanita dalam mengusahakan perniagaan.

Tentang Hati disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat mulai 3 Julai ini jam 7 malam menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Aliff Aziz, Trisha Ooi, Nafiz Muaz, Fazlina Dato Ahmad Daud, Muaz Zabir dan Datin Nor Aliah Lee.

Drama bersiri 28 episod ini mengisahkan kehidupan Tiara, seorang gadis diduga pelbagai cabaran. Ketika menunggu keputusan peperiksaan, Tiara mendapati bahawa dia hamil hasil daripada pelakuan sumbangnya bersama Khalid.

Fatimah, ibu Tiara marah apabila mendapat tahu mengenai berita kehamilan Tiara dan memaksanya menggugurkan kandungan itu.

Wafi yang juga kawan baik Khalid baru sahaja menghabiskan pembelajarannya di luar negara dan pulang ke Malaysia dengan hasrat untuk mengahwini tunangnya, Darina.

 KERIA Women dibarisi Rita Nadira selaku pelakon utama.
KERIA Women dibarisi Rita Nadira selaku pelakon utama.

Namun, semangat berkobar-kobar Wafi selepas mengharungi cinta jarak jauh hancur apabila Darina menuntut supaya pertunangan mereka diputuskan.

Konflik memuncak apabila Tiara yang buntu untuk membetulkan kesilapannya pergi ke ibu kota untuk mencari Khalid yang menghilangkan diri.

Tiara cuba menjejaki Khalid dengan harapan Khalid dapat membantunya menyelesaikan masalah itu.

Drama Obsesi Dia pula menampilkan Sophia AlBarakbah, Zahiril Adzim, Zaki Azeman, Ashraf Muslim, Fify Azmi dan Jay Iswazir.

Kejadian bermula ketika ulang tahun ke-18 Affiyah yang bertukar tragedi apabila dia secara tidak sengaja menyaksikan pembunuhan kejam.

Takut menjadi mangsa seterusnya, Affiyah yang diugut pembunuh berjaket hud berjanji untuk merahsiakan peristiwa berkenaan daripada orang lain.

Saksikan Obsesi Dia disiarkan mulai 5 Julai ini setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

Keria Women yang disiarkan setiap Khamis hingga Sabtu jam 9 malam mulai 8 Julai ini pula menampilkan barisan pelakon antaranya Rita Nadira, Sabrina Sharleen, Fify Azmi, Raja Ema, Ezaidi Aziz, Marc Syahmie, Muazmeer Mohsin dan Shy Rim.

Mengisahkan Naura seorang pengurus kewangan di sebuah syarikat terkemuka yang kecewa selepas menjadi mangsa diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja.

Oleh kerana layanan yang tidak adil diberikan bossnya, Naura tidak teragak-agak untuk meletak jawatan walaupun sebelum ini selesa dengan pekerjaannya di situ.

Sally, pembantu peribadi Naura mengajak Naura untuk pulang ke kampung halamannya di Melaka supaya Naura dapat menenangkan diri daripada peristiwa yang dilalui.

Pada awalnya, Naura berasa janggal dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana di kampung kerana dia dibesarkan di bandar sejak kecil.

Cik Mah, ibu Sally yang juga peniaga kuih keria warisan cukup terkenal di kampung itu. Naura dapat melihat kuih keria Cik Mah itu berpotensi untuk tembus ke pasaran luar lantaran keistimewaan dan sambutan luar biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 6:30 AM