MAHU belajar berlakon dengan Ogy Ahmad Daud.
MAHU belajar berlakon dengan Ogy Ahmad Daud.
Ramlah Zainal


Memiliki lebih setengah juta pengikut di Instagram, pasti ramai menganggap pempengaruh media sosial dan pendatang baru, Nurin Afiqah mendapat laluan mudah untuk mencari tapak dalam bidang lakonan.

Hakikatnya, kata Nurin atau nama sebenarnya Nurin Afiqah Zulkiflee, 27, dia menceburi bidang lakonan bersandarkan minat dan tidak kisah bermula dari bawah.

"Mungkin sebagai pempengaruh media sosial yang mempunyai ramai pengikut menjadi satu kelebihan untuk memasuki bidang seni.

"Namun, saya juga pastikan tidak mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan penerbit dan pengarah untuk menggilap bakat lakonan sedia ada dengan berusaha berikan yang terbaik mengikut kemampuan," katanya.

Ditanya pembabitan dalam bidang lakonan, Nurin berkata, dia sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak dua tahun lalu.

Drama pertama lakonannya ialah telefilem omedi romantik, Diam Tanda Setuju berganding dengan Beto Kusyairi, Mawar Rashid dan Farid Kamil pada 2021.

"Mungkin nama saya kurang dikenali sebagai pelakon kerana saya juga berniaga. Bila tidak berlakon, saya akan fokus pada perniagaan," katanya.

Sebagai pelakon baru, Nurin berkata, dia tidak kisah ditawarkan watak kecil atau pembantu dalam drama.

"Saya minat berlakon dan suka mencuba pelbagai watak untuk menggilap bakat dalam lakonan serta perbaiki prestasi sedia ada," katanya.

Mengenai watak diimpikan pula, kata Nurin, dia juga menanti watak berat untuk mencabar lakonan sedia ada.

"Saya suka berlakon kerana ia membabitkan riak muka dan banyak bermain dengan ekspresi wajah untuk menjiwai sesuatu watak.

"Pada masa sama, saya juga merancang untuk menimba ilmu lakonan dengan kak Ogy Ahmad Daud tidak lama lagi untuk meningkatkan prestasi lakonan sedia ada," katanya.

Terbaru, Nurin berlakon dalam drama bersiri Tentang Hati Dia yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam di slot Samarinda TV3 dan laman web dan aplikasi IQIYI ketika ini.

Nurin melakonkan watak pembantu bernama Darina yang juga bekas tunang kepada Wafi, lakonan Aliff Aziz serta pendatang baru, Trisha Ooi.

Katanya, dia bersyukur kerana drama bersiri itu mendapat maklum balas positif dari penonton.

"Sebagai pelakon baru, Aliff banyak membantu saya untuk menjiwai watak Darina dengan baik dan saya juga sangat menghormatinya.

"Walaupun dia pelakon popular, dia tidak sombong untuk berkongsi ilmu lakonan dengan saya dari hari pertama di lokasi hingga penggambaran drama bersiri ini selesai," katanya yang juga jurulatih zumba.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Wifi Sebelah Rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 6:20 AM