AR BAdul
AR BAdul
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah veteran AR Badul, mendedahkan jalan cerita asal filem arahannya, Vik2ria Secret memang memaparkan kisah rahsia wanita atau cerita 'dalam kain'.

Menurut Badul, 73, dia juga terpaksa akur bila beberapa babak yang sedikit 'daring' (berani) dalam filem itu terpaksa diubah mengikut kesesuaian penonton tempatan.

"Pada mulanya, memang kami mahukan cerita panas tapi macam ke arah Hollywood pula. Sebagai orang Islam ada perkara yang tidak boleh dilakukan.

"Justeru, kami 'lembutkan' sikit cerita ini supaya tidak dikecam oleh penonton. Walaupun buat filem untuk bisnes tapi kita tetap kena jaga semua itu," kata Badul ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Vik2ria Secret di sini.

Ditanya sama ada cerita 'dalam kain' yang dipaparkan dalam filem Vik2ria Secret sebagai strategi pemasaran untuk menarik minat penonton, Badul mengakui dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya kemahuan penonton.

"Ada juga penonton yang suka tengok cerita dalam kain juga. Apapun, kita tahu filem Malaysia ada hadnya.

"Sekiranya cerita ini boleh menyentuh hati mereka untuk menonton, silakan untuk menontonnya," katanya.

Sementara itu, Penerbit filem Vik2ria Secret, Richard Ung berkata, judul asal filem itu adalah 'Bra Merah'.

Menurutnya, idea itu diperoleh daripada salah seorang rakan baiknya yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

"Namun, judul bra merah itu terpaksa ditukar kerana pihak Finas menganggapnya kurang sesuai dengan penerimaan penonton selain kedengaran kurang sopan," katanya.

Mengenai perkataan kasar seperti 'sial' yang digunakan dalam filem itu pula, kata Richard, filem Vik2ria Secret pada mulanya dihasilkan untuk siaran di platform Over The Top (OTT).

"Pada mulanya filem ini untuk ditayangkan di platform OTT di bawah naungan saya, My Wayang.

"Namun, kos untuk menguruskan OTT sangat besar dan saya kini berusaha untuk selesaikannya.

"Ada beberapa babak yang dianggap kurang sesuai juga sudah dipotong untuk tayangan di pawagam," katanya.

Selain Badul, filem Vik2ria Secret juga menampilkan barisan pelakon seperti, Ropie, Annie Arifin, Man Raja Lawak, Fiza Halim dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 12:43 PM