Gipsy Kings
Gipsy Kings
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Seramai 199 penghibur dari 12 negara termasuk pemenang Grammy, Gipsy Kings dari Perancis bakal menghangat Festival Muzik Rainforest Dunia (RWMF) 2023 di Cultural Village, Kuching, Sarawak pada 23 hingga 25 Jun nanti.

Gipsy Kings akan turut menampilkan Tonino Baliardo yang popular dengan lagu termasuk Djobi Djoba dan Bamboleo pada festival ikonik tahunan itu.

Tidak ketinggalan, Big Mountain dari Jamaica, Teater Safi (Tanzania), Rastak (Iran), Fasylive (Maldives), dan ramai lagi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival itu bertujuan menampilkan transformasi muzik global selain turut martabatkan budayawan tempatan.

"Walaupun penghibur antarabangsa sudah pasti antara tarikan pada acara kemuncak, kita harus mengiktiraf penghibur tempatan yang luar biasa. Demikian kumpulan pemuzik yang semakin berkembang maju hasil terbabit RWMF selama ini.

"Mereka bukti kuasa transformatif muzik dan budaya dalam mencipta impak positif kepada komuniti kita," katanya pada acara pelancaran festival itu.

Festival anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) itu memilih tema 'refleksi' sebagai memperingati sejarah permulaan RWMF yang sederhana dengan hanya 300 penonton untuk konsert pertamanya pada tahun 1998.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor berkata mereka mensasarkan lebih 20,000 pengunjung untuk RWMF kali ini.

Menurutnya, dia akan berusaha memastikan festival terbabit semakin mampan di mata dunia.

"Merenung kembali perjalanan peristiwa 26 tahun lalu, saya gembira kerana STB melaksanakan tugas terbabit dan berbangga untuk menyaksikan serta menjadi sebahagian daripada pertumbuhan RWMF.

"Daripada permulaannya yang sederhana, hingga diiktiraf sebagai festival muzik bertaraf antarabangsa. Kami tidak sabar melihat 25 tahun akan datang sambil bergerak menjadikannya platform untuk Wilayah Sarawak terus mampan dari segi eko pelancongan dan muzik," katanya.

Artis tempatan yang bakal terbabit adalah Zee Avi, Suk Binie, APU, Nadir, Steve Thornton Band, Sada Borneo, Tuku Kame, Nading Rhapsody, Geng Wak Long, Buloh Berkocak, At Adau, Meruked dan Orang Orang Drum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 3:40 PM