Abdul Karim Rahman Hamzah, melancarkan "The Launching Of Rainforest World Music Festival 2024" di Sheraton Hotel, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Abdul Karim Rahman Hamzah, melancarkan "The Launching Of Rainforest World Music Festival 2024" di Sheraton Hotel, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pemuzik legenda yang juga pemenang anugerah Grammy dan Golden Globe dari Jepun, Kitaro, dijangka membuat kemunculan istimewa pada Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) di Damai, Santubong pada 28 hingga 30 Jun depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penampilan Kitaro yang juga pemuzik dan komposer terkenal dengan muzik instrumental elektroniknya yang inovatif menjanjikan pengalaman yang memukau.

Menurutnya, RWMF edisi ke-27 itu bertuah kerana menarik Kitaro yang dikenali di seluruh dunia untuk membuat penampilan pertamanya di festival tahunan itu.

"Saya percaya kehadiran beliau amat dinanti-nantikan penggemar muzik dan kita berbangga kerana dapat menampilkan pemuzik legenda itu untuk membuat persembahan 'live' di Kuching," katanya pada sidang media pelancaran RWMF 2024 di sini, hari ini.

Selain Kitaro, penyanyi tersohor negara, Datuk Zainal Abidin turut menjanjikan persembahan memukau bersama 68 pemuzik antarabangsa dari 15 negara.

Tambahnya, seramai 63 artis Malaysia juga akan tampil pada festival tiga hari itu.

Antara pemuzik antarabangsa yang akan tampil ialah Havana Social Club yang menggabungkan pemuzik dari Cuba, Venezuela, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura; Alright Mela Meets Santoo dari Pakistan dan Perancis; Bourbon Lassi (Australia); Imarhan (Algeria dan Perancis); Krakatau Ethno (Indonesia); Nini (Taiwan); Rhythm Rebels featuring Selonding Bali Aga (Indonesia); Rizal Hadi and Folk (Indonesia) dan Tribal Tide (Singapura).

Artis tempatan yang akan tampil pula ialah pemuzik Sape, Alena Murang; The Borneo Collective, Tuni Sundatang,Nisa Addina, Zarul@OurBodySound, Salammusik, The Colour of Sounds Malaysia, Adrian G dan Belle Sisoski.

Abdul Karim berkata, penggemar muzik boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan RWMF 2024 mulai April ini yang menawarkan pakej untuk tiga hari berharga RM635.

Beliau turut yakin penganjuran RWMF 2024 akan merancakkan lagi sektor pelancongan Sarawak yang mempamer prestasi memberangsangkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:42 PM