RADI ingin mencuba sehabis baik dalam industri seni.
RADI ingin mencuba sehabis baik dalam industri seni.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


Komposer dan penyanyi baharu, RADi, 21, tekad untuk tidak meneruskan pengajian dalam jurusan perniagaan di sebuah universiti kerana mahu fokus terhadap bidang nyanyian.

RADi yang juga adik penyanyi, Aisha Retno berkata, dia tidak mahu meneruskan pengajian dalam bidang itu selepas memikirkan masa hadapan dan minatnya.

"Saya rasa itu bukan sesuatu yang saya mahu. Jadi, saya terus berhenti dan ingin mencuba sehabis baik dalam industri seni ini," katanya.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi adalah perumpamaan sesuai buat penyanyi muda ini kerana ibunya, Jean Retno Aryani adalah penyanyi Indonesia era 1980-an yang memenangi Bintang Radio & TV Indonesia pada 1985 dalam kategori keroncong.

"Ibu yang juga penyanyi di Indonesia turut menyokong minat saya," kata pemilik nama sebenar Sayed Abu Hanifa Radityo ini.

RADi memulakan karier muziknya sebagai komposer untuk lagu I.L.S.M dan W.H.U.T nyanyian Aisha. Ia meraih hampir lima juta tontonan di YouTube dan turut menerima sambutan memberangsangkan di Indonesia.

RADI tidak menolak jika diberi tawaran berlakon.
RADI tidak menolak jika diberi tawaran berlakon.

Pada mula dia hanya mencipta lagu untuk penyanyi lain. Bagaimanapun, apabila lagu W.H.U.T mendapat maklum balas yang baik serta mencatat lebih 45 juta penstriman di Spotify membuatkan dia ingin cuba menyanyi.

"Aisha cakap sampai bila saya nak hasilkan lagu untuk orang saja. Apa kata cuba keluar dari bidang itu dan cuba nyanyi pula.

"Jadi, saya keluarkan nyanyian saya berjudul Maybe. Ia adalah single pertama saya yang sekarang mencecah 100,000 penstriman di Spotify," katanya.

RADi menghasilkan lagu bahasa Inggeris pertama buat dirinya selepas berjumpa perempuan yang tidak boleh dilupakan.

Lagu ini adalah inspirasi daripada seorang perempuan yang meninggalkan kesan mendalam buat dirinya dan tidak menafikan ia berkaitan kisah hidupnya sendiri.

"Saya berjumpa gadis itu dan dia ada menegur saya. Saya ada keluar lepak dengan dia, bila malam saya tak boleh tidur sebab memikirkan dia.

MEMULAKAN karier muzik sebagai komposer.
MEMULAKAN karier muzik sebagai komposer.

"Jam 6 pagi, saya buka lap-top (komputer riba), masuk studio, ambil gitar dan terus rakamkan sedikit demo awal dan hantarkan kepada penerbit bersama saya," katanya.

RADi berkata, dia tidak menyesal berhenti belajar dan meneruskan langkah dalam industri muzik kerana sambutan yang diterima sebagai penyanyi amat memberangsangkan untuk dia terus melangkah ke hadapan.

Ditanya mengenai bidang lakonan, RADi berkata, dia tidak menolak jika diberi tawaran berlakon asalkan ia masih dalam industri sama.

"Jika diberi tawaran berlakon saya boleh cuba dan saya terbuka kepada semua yang berkaitan industri seni," katanya yang akan mengeluarkan single kedua berjudul Like You selepas Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 6:30 AM