Wajah Aisha Retno menghiasi papan iklan Times Square, New York
Wajah Aisha Retno menghiasi papan iklan Times Square, New York
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Aisha Retno, 22, tidak dapat menggambarkan kegembiraan apabila menjadi artis tempatan terbaru menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat sempena kempen EQUAL oleh Spotify.

Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata pencapaian itu paling terbesar buatnya setakat ini selama lebih dua tahun berkecimpung dalam bidang seni.

"Untuk mendapat pengiktirafan itu, memang terlalu besar maknanya buat saya. Biasanya yang mendapat peluang itu adalah artis bernama besar termasuk Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, dan Dolla.

"Jadi, buat saya yang baharu dua tahun lebih bergelar anak seni, memang bersyukur sangat. Siapa saja tidak ada impian untuk menghiasi papan iklan ikonik itu?," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu W.H.U.T terbabit juga semakin berkobar untuk terus menyajikan karya hebatnya. Baginya, motivasi begitu mencetus lagi kerja keras menjadi penyanyi berkaliber.

"Semestinya pencapaian ini membuatkan saya mahu terus hasilkan banyak lagu berkualiti pada masa akan datang. Saya tidak mahu sekadar suka-suka saja.

"Sebaik pengurusan berkongsi berita ini pada pagi tadi, saya tak dapat menahan emosi. Inilah yang saya harapkan dalam kerjaya seni iaitu terus mendapat pengiktirafan membanggakan," katanya.

Menurut Aisha, dia sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan serta label rakaman yang merealisasikan hal itu.

"Ada juga pengurusan memberi bayangan kemungkinan wajah saya boleh terpampang di sana. Namun saya enggan menaruh harapan sangat kerana saya pun tahu bukan mudah untuk mendapat slot itu.

"Syukur juga Spotify menjadi platform yang berjaya realisasikan impian saya itu. Lagu W.H.U.T berjaya meraih penstriman lebih 30 juta setakat ini," katanya.

Selain Aisha, wajah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Aina Abdul dan Dolla juga pernah terpampang di papan iklan gergasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 2:42 PM