SELAIN mahu serlah karya sendiri, kini mengidam ke pentas lebih tinggi.
SELAIN mahu serlah karya sendiri, kini mengidam ke pentas lebih tinggi.
Georgie Joseph


Puas bertanding dalam pelbagai program nyanyian, Aisha Retno dan Ajoi Zainal kini mengidam ke pentas lebih tinggi selepas ini.

Bagi mereka, sekarang adalah masa untuk mekarkan kerjaya seni dan menonjolkan karya sendiri.

Ajoi atau nama sebenarnya Muhammad Qaidzul Zainal Abidin, 24, berkata, bertanding itu bukan lagi keutamaannya kerana dia sendiri sudah menyertai pelbagai pertandingan berprestij.

Selain baru tamatkan perjuangan dalam Big Stage 5, dia pernah menyertai Bintang RTM pada 2018, Mentor Milenia (2019) dan All Together Now Malaysia musim pertama.

Kini dia mengintai peluang memijak pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pula.

"Kalau boleh sudah tak mahu masuk pertandingan sebab tak nak tunjuk kesilapan ketika bertanding. Lagi-lagi pertandingan itu berisiko, tapi kalau anugerah memang nak masuk macam AJL.

"Itu platform untuk jual karya kita dan saya okay kalau masuk pertandingan begitu. Kalau bertanding setiap minggu dan nyanyi lagu orang lain, tak perlu lagi rasanya," katanya.

Bagi Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipuljam pula, dia tidak menolak sekiranya dapat bertanding dalam program yang tahapnya jauh lebih tinggi.

Pemenang tempat ketiga Big Stage 5 ini percaya pertandingan nyanyian juga penting, tapi ada cabaran tertentu. Justeru, dia belum bersedia jadi peserta program sebegitu buat masa sekarang.

"Program terakhir disertai iaitu Big Stage pun adalah yang terbesar. Itu impian ramai penyanyi dan alhamdulillah sudah pun tercapai.

"Selalunya tahap seterusnya selepas itu tentunya AJL, Anugerah MeleTOP atau menjadi juri program. Kalau masuk pertandingan menyanyi balik, kena bermula dari bawah semula.

"Boleh cuba lagi bagi saya, tapi buat masa sekarang, fokus kepada mementingkan penghasilan karya sendiri. Big Stage sebenarnya sudah beri pembukaan untuk kami," katanya.

AJOI dan Aisha puas hati sertai pelbagai pertandingan nyanyian.
AJOI dan Aisha puas hati sertai pelbagai pertandingan nyanyian.

Ajoi lega tukar nama pentasnya

Kalau diikutkan, Ajoi sebenarnya bukan nama baharu dalam bidang seni suara.

Beberapa tahun lalu, dia pernah diperkenalkan dengan nama berbeza iaitu Kaizo sebelum menukar nama pentasnya.

Keputusan itu cukup berbaloi buatnya apalagi banyak perubahan berlaku dalam kerjaya seni.

Semakin mendalami corak perniagaan industri seni, dia percaya penjenamaan semula itu bawa tuah besar untuknya.

"Saya belum lagi pernah keluarkan lagu selepas menjenamakan nama pentas jadi Ajoi Zainal. Jadi, kini tengah tunggu masa nak berbuat demikian sebab material pun sudah siap.

"Perancangan awal adalah untuk mengeluarkan lagu pada Jun depan. Apa pun sekarang tunggu keputusan daripada pihak syarikat rakaman saja dulu," katanya.

Apa pun, Ajoi enggan mendabik dada dengan pengalaman profesional diraihnya sebelum ini.

Baginya, kelebihan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam perlumbaan dengan penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) lain.

"Pasaran BBNU sekarang sangat meluas dan mudah sekali artis dilahirkan hanya dari media sosial. Ada yang baharu aktif nyanyi lagu 'cover' sebulan dua, sudah dilamar syarikat rakaman.

"Lagipun saya sendiri adalah beberapa tahun bertapak dalam industri muzik. Jadi, cabaran untuk saya adalah bagaimana serlahkan diri dalam kalangan pasaran muzik bersama BBNU lain.

"Saya optimis generasi penyanyi BBNU terutama dari Big Stage boleh bersinar dalam pasaran sekarang. Saya pun memang nak ubah tanggapan sinis yang mengatakan peserta program realiti sekadar bintang semusim," katanya.

Aisha azam tawan pasaran tempatan dan antarabangsa

Terbaharu mempertaruhkan lagu Pencarianku, Aisha bersyukur penerimaannya cukup melegakan. Berbanding beberapa lagu terdahulunya, sambutan kali ini lebih dirasakan.

Namun, dia tidak nafikan terpalit dakwaan nakal berhubung lagu itu dilancarkan ketika masih bertanding di Big Stage 5.

"Syukur Pencarianku mendapat sambutan memberangsangkan sebab mungkin masih hangat penerimaan ramai selepas Big Stage. Maka, orang nak tengok apa lagi yang saya akan sajikan selepas ini.

"Pencarianku pun saya lancarkan tiga hari sebelum final Big Stage. Jadi, saya ingin beri pencerahan buat yang mendakwa saya lancar lagu itu disebabkan terlalu yakin jadi juara program itu.

"Hakikatnya, sebelum saya masuk Big Stage lagi, memang tarikh pelancarannya sudah ditetapkan sejak awal. Ini kerana lagu itu adalah sebahagian daripada sebuah kempen Spotify," katanya.

Apa pun, kejayaan terbesar Aisha setakat ini tidak dinafikan menerusi lagu Inggerisnya, W.H.U.T. Lagu itu mendapat jutaan penstriman, sekali gus meraih pengikut dari luar negara juga.

Dia berjanji mahu terus hasilkan lagu bahasa Inggeris dalam misi menakluk peminat dari luar selain mengukuhkan namanya dalam lapangan seni tempatan.

"Saya percaya kunci utama adalah untuk tak terlalu fikir sangat ke mana lagu itu. Tapi, alhamdulillah lagu itu berjaya diterima baik gara-gara TikTok sehingga digilai di Indonesia.

"Memang saya berhajat akan teruskan penghasilan karya bahasa Inggeris. Namun, tentu sekali fokus utama tetap pada industri muzik tempatan kita dan memikat pendengar rakyat Malaysia.

"Ini disebabkan, secara demografiknya lagu W.H.U.T lebih banyak datang dari luar negara. Kenapa tidak kuasainya industri tempatan seiring peminat dari luar negara juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 6:00 AM