Najiy Jefri


SIAPA sangka impian penyanyi dan komposer berbakat besar, Aisha Retno untuk beraksi pada Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) akhirnya tercapai selepas lagu ciptaannya bersama MFMF berjudul Sutera berjaya menempah tiket sebagai satu daripada 12 lagu yang layak ke acara berprestij itu.

Aisha berkata, dia tidak menyangka lagu itu mampu membawa dirinya buat kali pertama ke AJL sekali gus tidak sabar untuk beraksi cemerlang pada acara yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac tahun depan.

"Saya teruja, gementar dan terharu dengan sokongan ramai terhadap lagu Sutera. Alhamdulillah lagu ini semakin diminati dan diterima baik.

"Cuma, persiapan belum berjalan sebab masih dalam perancangan dengan pasukan, tapi saya bertekad akan membuat yang terbaik dan tidak akan sesekali mensia-siakan peluang serta rezeki ini.

"Ini adalah rezeki Allah. Bayangkan 29 lagu yang bertanding, lagu Sutera dipilih sebagai antara yang terbaik," katanya.

Lebih mengujakan, Aisha amat berbesar hati apabila penyanyi pujaan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberikan 'kredit' terhadap bakat seni yang dimilikinya.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, dia menjadikan komen penyanyi itu sebagai pembakar semangat untuk beraksi pada AJL38.

"Kata-kata semangat yang ditulis Datuk Seri Siti sangat saya hargai. Saya rasa amat berbesar hati apabila beliau meninggalkan komen sebegitu.

Penyanyi, Aisha Retno
Penyanyi, Aisha Retno

"Beliau boleh dikatakan individu penting yang melihat perjalanan karier seni saya daripada mula ketika dalam Big Stage musim keempat dulu apabila beliau juga adalah juri program itu.

"Alhamdulillah berkat teguran dan ilmu yang dikongsikan membentuk saya sebagai penyanyi dan komposer dengan lebih baik. Saya masih baharu dalam bidang ini, namun saya sangat optimis untuk belajar dan memperbaiki diri," katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Siti menyifatkan Aisha memiliki bakat yang hebat dan mendoakan agar lagu Sutera berjaya di pentas AJL38, sekali gus bersaing dengan 11 lagi lagu lain yang terpilih.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki tak ke mana ya. Adik (Aisha) sangat berbakat besar," tulisnya pada hantaran berkenaan.

Selepas pengumuman lagu Sutera yang berjaya ke pentas AJL38, Aisha mengumumkan dirinya bakal tampil dengan single bertajuk Cukuplah dan Teduh bersama album mini yang diberi nama A.R.

A.R adalah nama singkatannya dan mengandungi enam lagu termasuk lagu hit seperti Pencarianku.

"EP ini adalah impian saya dalam karier muzik. Ia adalah hadiah paling bermakna untuk peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya dalam industri seni.

"Saya rasa teruja dan terharu lagu Cukuplah dan Teduh sudah boleh didengari di semua platform digital,"katanya.

PERTAMA kali layak ke AJL.
PERTAMA kali layak ke AJL.

Menurut Aisha, Cukuplah membawa maksud yang cukup mendalam kepada dirinya apabila menceritakan kesedaran dan nasihat kepada diri sendiri.

"Lagu ini memberi mesej positif yang kita seharusnya memiliki keyakinan kepada diri sendiri dan tidak selalu berusaha untuk memenuhi harapan orang lain.

"Kita sepatutnya yakin pada diri sendiri. Kesempurnaan itu tidak semestinya menjamin kebahagiaan. Kadang-kadang kita paksa diri untuk melakukan perkara di luar kemampuan demi memenuhi keinginan orang lain," katanya.

Pada masa sama, Aisha turut bercerita mengenai lagu Teduh yang dicipta khas untuk ibu tercinta.

Malah, Teduh juga menunjukkan kedewasaannya dalam menyampaikan mesej yang mendalam melalui karya yang dipersembahkan.

"Teduh mengisahkan ibu kandung saya yang tidak pernah putus menyokong perjalanan saya dalam industri ini. Dia sentiasa menjadi tulang belakang kepada saya sejak dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 6:00 AM