ONEREPUBLIC sentiasa seronok datang Malaysia.
ONEREPUBLIC sentiasa seronok datang Malaysia.
Georgie Joseph


WALAU berganti generasi, kumpulan OneRepublic dari Colorado, Amerika Syarikat (AS) terus digilai peminat Malaysia.

Buktinya, lebih 4,000 hadir ke OneRepublic Live In Concert Kuala Lumpur di Dewan 5, Pusat KonvensyeN Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih mengagumkan, penonton kali ini terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Dari remaja hinggalah peminat berusia 40-an, rata-rata pamer keterujaan menonton setiap persembahan pada konsert berdurasi dua jam itu.

Hakikatnya, OneRepublic yang dianggotai Ryan Tedder selaku penyanyi utama, Zach Filkins (gitar akustik), Eddie Fisher (gitar), Drew Brown (piano), Brentz Kutzle (bass), dan Brian Willer (dram), sendiri memang sayangkan Malaysia.

Tedder berkata, mereka takkan pernah bosan dan sentiasa mencari peluang kembali membuat persembahan di sini.

Baginya, setiap kunjungan mereka sentiasa memberi makna tersendiri sejak dulu.

"Saya sudah jejak Malaysia sejak berusia 16 tahun lagi. Negara ini sudah umpama persinggahan wajib dan kami sangat terharu kerana sambutan peminat di sini sememangnya tidak pernah mengecewakan.

"Saya pasti ada peminat yang sudah mengikuti kami sejak awal 2000 lagi. Mungkin turut hadir pun pada malam ini dan sokongan beginilah yang benar-benar buat kunjungan kami bermakna," katanya.

Yang pasti, OneRepublic tampilkan konsert berkonsep memuaskan hati peminat kali ini. Semua lagu-lagu yang dinyanyikan adalah lagu hit kegemaran ramai tanpa persembahkan lagu baharu pun.

Justeru, mudah untuk penonton menyanyi bersama kerana rata-rata lagu itu dihafal semua. Dari lagu pertama hinggalah penutup, peminat bagaikan tak berehat kerana terus disajikan lagu yang mereka tahu.

TAMPILKAN persembahan bertenaga selama dua jam.
TAMPILKAN persembahan bertenaga selama dua jam.

Menurut Tedder, mereka sangat seronok apabila dapat kembali beraksi secara bersemuka dengan peminat. Bertahun terperuk kerana pandemik Covid-19, mereka lega dapat kembali adakan siri konsert jelajah.

"Syukur kita sudah lepasi beberapa tahun yang cukup mencabar buat satu dunia. Kini kami dapat menjelajah pelbagai lokasi semula dan bertemu dengan peminat selepas lama menanti.

"Kami takkan pernah bosan bertandang ke Malaysia kerana banyak hal yang buatkan negara ini sentiasa dekat di hati. Sememangnya kami sentiasa berterima kasih kerana kedatangan kami terus disambut luar biasa di sini," katanya.

Pada konsert itu, OneRepublic memang menampilkan persembahan bertenaga sepanjang dua jam. Tiada gimik atau apa, ternyata kumpulan itu masih berbisa dan lincah atas pentas.

Tedder juga tidak kurang hebatnya melantunkan vokal mantap sepanjang nyanyiannya. Bahkan dia turut menunjukkan kemahiran bermain gitar dan piano untuk beberapa lagu.

Lagu-lagu dipersembahkan termasuk Secrets, Good Life, Stop And Stare, Rescue Me, Whenever I Go, Love Runs Out, I Ain't Worried, Sunshine, Apologize, I Lived, Counting Stars, dan If I Lose Myself.

Mereka turut mengadakan sebuah segmen istimewa di mana Tedder menyanyikan lagu-lagu tulisannya nyanyian artis lain.

Ia termasuk Halo nyanyian Beyoncé, Bleeding Love (Leona Lewis), Rumour Has It (Adele), Lose Somebody (Kygo), That's What I Want (Lil Nas X) dan Sucker (Jonas Brothers).

Sebelum OneRepublic mengambil alih pentas, penonton turut dihiburkan penyanyi dari AS iaitu Jessia.

Konsert berkenaan dianjurkan Live Nation Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 6:49 PM