Georgie Joseph

(Yang menemubual penyanyi OneRepublic, Ryan Tedder secara virtual, baru-baru ini)

BUAT pencinta karya OneRepublic, penantian mereka pastinya terlerai apabila kumpulan itu bakal melancarkan album baharu berjudul Human selepas lima tahun berehat.

Tidak disangkal, karya dihasilkan mereka sememangnya sentiasa menarik.

Dianggotai Ryan Tedder selaku penyanyi, Zach Filkins dan Drew Brown (gitar), Brentz Kutzle (bass dan cello), Eddie Fisher (dram), dan Brian Willet (keyboard), OneRepublic jarang gagal menghasilkan lagu terbaik.

Seperkara yang nyata, kumpulan ini cukup terperinci dalam memastikan kualiti melodi serta lirik lagu ditulis ada makna mendalam. Paling penting, hala tuju dan identiti mereka cukup tersendiri serta sudah dikenali rapat oleh peminat.

Dalam temu bual RapXtra bersama Tedder baru-baru ini, dia mengakui penghasilan album Human adalah yang paling mencabar dan sukar setakat ini. Ia kerana mereka berazam mengembalikan kegemilangan muzik sebagaimana album popular terdahulu.

"Banyak faktor menyebabkan Human adalah album paling sukar untuk kami hasilkan. Bukan saja pelancarannya ditunda, kami juga berdepan cabaran daripada segi pemilihan lagu terbaik untuk dimuatkan.

"Jujur, banyak kali juga kami menukar lagu yang benar-benar mahu dimasukkan dalam album itu. Ada saja lagu yang baharu dihasilkan yang membuatkan kami tidak mahu abaikan ia dalam album itu.

"Semestinya situasi pandemik ketika ini turut memberi kesan kepada proses itu. Oleh itu, kami bersyukur akhirnya ia bakal menemui peminat tidak lama lagi dalam tahun ini,' katanya.

Berkongsi lanjut, Tedder nyata teruja dengan pemilihan lagu yang mereka ada setakat ini untuk album terbabit.

Menurutnya, pendengar pasti akan dapat kepuasan kerana ia menggabungkan pelbagai corak karya dihasilkan mereka sebelum ini.

Dia juga gembira kerana hala tuju yang dibawakan OneRepublic sememangnya cukup bertepatan dengan halwa telinga pendengar setiap masa. Baginya, itulah antara strategi yang sangat mereka tekankan tatkala berkarya.

"Apabila mendengar lagu baharu kami, ia akan mengimbau perasaan pendengar sewaktu meminati lagu kami sebelum ini. Ada corak melodi yang kedengaran sama dan diperbaiki lagi.

"Hala tuju kami tidak banyak berbeza pun dalam penghasilan karya kali ini. Sekali gus, pendengar pastinya akan masih mendengar corak lagu sebagaimana didengari menerusi album Dreaming Out Loud, Native, mahupun Oh My My sebelum ini,' katanya.

Mengulas mengenai corak berkarya pula, Tedder sentiasa menghasilkan lagu yang ditulis dari hati. Baginya, itulah sebenarnya kekuatan OneRepublic untuk terus mendapat kepercayaan pendengar selama ini.

Disebabkan itu jugalah, mereka tidak kisah untuk ambil masa membuat lagu kerana perlu kekalkan corak sebegitu.

Menurutnya, aspek itu sangat penting bagi mereka mengekalkan aura yang cukup kuat dalam lagunya.

TIDAK sabar kembali mengadakan konsert siri jelajah dunia.
TIDAK sabar kembali mengadakan konsert siri jelajah dunia.

"Semua lagu yang saya hasilkan untuk OneRepublic memang dibuat khas untuk kami saja. Kedalaman makna lagu yang kami hasilkan adalah terjemahan peribadi luhur daripada kisah hidup kami.

"Lagu yang kami hasilkan pun memang berdasarkan pengalaman peribadi. Kami sangat menekankan perkara itu untuk menyampaikan mesej dengan lebih realistik dan boleh dikaitkan dengan kisah hidup sesiapa pun," katanya.

ONEREPUBLIC kembali dengan album baharu berjudul Human.
ONEREPUBLIC kembali dengan album baharu berjudul Human.

Rindu kunjungi Asia

Sebagaimana artis lain, OneRepublic juga semakin tidak sabar untuk kembali menjelajah dunia mengadakan persembahan. Namun, Tedder mengakui mereka pastinya paling rindukan berkunjung ke Asia.

Baginya, kepuasan yang mereka dapat sewaktu mengadakan siri jelajah di rantau ini sangat istimewa. Bukan sekadar manis mulut, hakikatnya mereka berharap akan dapat kembali hiburkan peminat di Asia.

"Asia adalah lokasi yang begitu istimewa dalam hati kami. Entahlah, tapi kepuasan yang kami raih di rantau itu memang cukup berbeza dan sangat puas apabila beraksi buat peminat di sana.

"Antara lokasi yang kami teringin kembali semula untuk membuat persembahan adalah Ho Chi Minh, Vietnam. Tapi, tidak kisahlah di mana pun, semoga kami dapat buat persembahan sempena promosi album Human ini," katanya.

Dalam pada itu, OneRepublick juga semakin sibuk dengan pelbagai aturan kerjaya sejak keadaan pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) beransur reda. Mereka juga sempat melakukan penggambaran muzik video lagu Run, tidak lama dulu.

Tedder nyata teruja apabila dapat kembali jalankan aktiviti bersama yang lain selepas lama terkurung akibat pandemik sebelum ini.

Menurutnya, penggambaran itu antara yang paling istimewa pernah mereka jayakan.

Dia turut gembira apabila pemakaian pelitup muka sudah dilonggarkan di sana. Semestinya, dia berharap kelonggaran itu akan berlaku di negara lain pula selepas ini termasuk Asia kerana tidak sabar ke sini.

"Kami sudah boleh membuka pelitup muka selain mengadakan persembahan di khalayak. Saya dapat tahu, ia masih berkuat kuasa di negara-negara Asia dan berharap keadaan di sana akan kembali pulih secepat mungkin," katanya.

Walaupun belum menetapkan tarikh tetap, beberapa lagu termasuk Run, Rescue Me, dan Wanted, Didn't I, dan Better Days sudah sah dimuatkan dalam album Human. Kumpulan itu kini sedang rancak mempromosikan Run.

Ditubuhkan sejak 2002, OneRepublic berjaya meledak pada sekitar awal 2010 dengan puluhan lagu hit mereka termasuk Apologize, Counting Stars, If I Lose Myself, Love Runs Out, I Lived, Good Life, Secrets, Stop And Stare, dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:00 AM