Shuib pada sidang media Ubi Superstar di Mighty Monster Mytown. FOTO Saifullizan Tamadi
Shuib pada sidang media Ubi Superstar di Mighty Monster Mytown. FOTO Saifullizan Tamadi
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Sepanjang dalam industri seni saya tak pernah mengatakan saya sudah secara rasmi keluar daripada kumpulan Sepahtu. Begitu juga ketika bersama dengan kumpulan Sepah," kata pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, mengenai status terkininya dengan kumpulan Sepahtu yang menjadi tanda tanya ramai pihak.

Shuib berkata, nama Sepahtu sememangnya membawa tuah dan rezeki kepada dirinya sepanjang terbabit dalam bidang seni.

"Nama Sepahtu ini yang membawa rezeki kepada saya. Jadi, kalau nak panggil saya Shuib Sepahtu boleh, nak panggil Shuib saja pun tiada masalah.

"Cuma bila saya dalam program Sepahtu Reunion terlalu lama, memang saya lebih dikenali di sana. Sekarang pun saya masih berkawan dengan mereka dan hubungan kami tiada masalah," katanya ketika ditemui pada sidang media program komedi UBI Superstar Live, di sini.

Selain Shuib, Ajak Shiro turut diumumkan sebagai selebriti undangan yang akan bergandingan dengan Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie bagi merancakkan lagi program komedi berkenaan.

Menurut Shuib, walaupun ramai menyangka dia akan kembali ke program Sepahtu Reunion selepas memberitahu akan kembali bekerja di Astro dalam satu hantaran video di Instagram, namun segala spekulasi itu terjawab.

"Program Sepahtu Reunion adalah program paling menarik dan seronok pernah saya buat dan ia kekal menjadi rancangan terbaik pernah saya tonton.

"Ada rezeki saya akan ke sana juga sebab Sepahtu Reunion adalah program atau gelanggang yang cukup menarik untuk saya bermain.

"Lagipun sudah lima tahun saya bersama Sepahtu Reunion dan lebih 100 episod saya buat. Cuma kali ini, saya terima pelawaan UBI untuk tukar angin baru," katanya.

Program UBI Superstar Live akan bersiaran di Astro Warna bermula 23 Februari ini.

Kelima-lima mereka akan menghiburkan penonton menerusi garapan sitkom komedi istimewa dengan kreativiti sendiri selama empat minggu bersiaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 1:47 PM