Sepatuhtu Reunion Live Tour bakal menjelajah ke tiga negeri.
Sepatuhtu Reunion Live Tour bakal menjelajah ke tiga negeri.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio Rahim menjelaskan tidak timbul isu bermasam muka biarpun rakan industri Shuib kini tidak lagi bersama program Sepahtu Reunion.

Rahim berkata, pihaknya terbuka sekiranya Shuib ingin menjayakan program itu atau sebarang kerjasama pada masa akan datang.

"Saya tak pasti jika sebelum ini Shuib ada merajuk. Mungkin dia ada terasa hati dengan industri tetapi rasanya tidaklah dengan kami.

"Terus-terang antara kami tiada apa isu dan baik-baik sahaja walaupun Shuib sudah tidak bersama Sepahtu. Kami memang sudah tidak berada di pentas yang sama tapi masih berkawan dan berhubung.

"Apatah lagi, kami sentiasa terbuka untuk dia datang dan bekerjasama seperti sebelum ini menjadi cameo untuk Sepahtu Reunion dan sebagainya," katanya.

Rahim mengulas pengunduran Shuib dan pembabitan usahawan itu selepas sidang media Sepahtu Reunion Live Tour yang diadakan di Astro, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai projek sulung iaitu Sepahtu Reunion Live Tour yang akan diadakan di tiga buah negeri iaitu Johor, Terengganu dan Kedah, Rahim menjelaskan bagaimanapun Shuib tidak dapat untuk menjayakannya.

"Kami kini sedang fokus intipati serta idea untuk dibawakan ke persembahan di luar Kuala Lumpur nanti. Setakat ini semuanya masih berada dalam perbincangan.

"Seperti biasa akan ada cameo yang akan memeriahkan lagi persembahan kami seperti Erra Fazira, Uqasha Senrose, Elizad dan ramai lagi.

"Tapi untuk ahli Sepahtu yang terdahulu belum ada yang pasti untuk sertai. Cuma Shuib sudah mengesahkan dia tidak dapat sertai kami untuk persembahan jelajah ini," katanya.

Selain Rahim, ahli terbaharu Sepahtu Jep dan Pak Ya bersama Ebby Yus bakal menjelajah tiga buah negeri sempena program Sepahtu Reunion Live Tour bermula 14 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 4:33 PM