RANCANG konsert solo pada 2025.
RANCANG konsert solo pada 2025.
Syafil Syazwan Jefri

Siapa sangka Kugiran Masdo akhirnya mampu menembusi 'tembok' Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Minggu lalu menjadi tidak tolak kejayaan kumpulan yang dianggotai Ali Sariah (penyanyi, gitar), Putuceri (bass) dan Asmawi (gitar) ini apabila persembahan mereka di DFP menempa kejayaan.

Berkesempatan bertemu dan menemubual Kugiran Masdo baru-baru ini, mereka berkongsi perasaan dan pengalaman mengadakan konsert di situ.

Ali berkata, pada mula dia gemuruh kerana suasana tempatnya yang luar biasa.

"Tapi, saya dapat rasakan tenaga daripada penonton. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan berakhir dengan indah. Ini akan menjadi detik yang dikenang sampai bila-bila," katanya.

MEMBUAT persembahan di DFP, satu pengalaman baru buat Kugiran Masdo.
MEMBUAT persembahan di DFP, satu pengalaman baru buat Kugiran Masdo.

Tampil mempersembahkan lagu-lagu popular mereka termasuk lagu baru berjudul Pujaanku yang menampilkan Aisyah Aziz, Ali berkata, persetujuan Aisyah untuk bekerjasama adalah satu impian yang menjadi kenyataan.

"Selepas ini, kami nak tumpukan kepada promosi lagu Pujaanku. Pemilihan Aisyah juga adalah satu impian kami kerana kemampuan vokalnya.

"Suaranya sangat klasik dan ini juga menjadi permulaan kami untuk menampilkan artis lain dalam lagu kami," katanya.

Ditanya mengenai platform TikTok yang mewujudkan 'fenomena' buat lagu-lagu mereka, Ali berkata, dia yang pada awalnya skeptikal dengan platform itu kini mula melihat impak positifnya.

"Kalau bercerita mengenai TikTok, kami pada awalnya agak skeptikal juga dengan platform itu memandangkan banyak video-video yang menampilkan orang menari.

"Tapi, apabila video dan lagu kami mula tular di TikTok, kami dapat melihat sisi lain TikTok dan impaknya kepada karya serta nama kami. Ia sangat membantu," katanya.

Sementara itu, Putuceri berkongsi rasa bahagia dengan impak positif yang diberikan penonton terhadap persembahan mereka.

"Alhamdulillah, kami tak jangkakan semeriah ini sambutannya memandangkan ini adalah konsert solo pertama kami di DFP. Ini adalah satu konsert yang luar biasa dan berbeza.

"Apabila penonton mula rasa selesa, kami pun mula selesa dan santai. Yang pasti, ini satu proses beradaptasi buat kami dengan benda dan pengalaman baru," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan mereka, Putuceri berkata, mereka merancang untuk mengadakan persembahan khas pada 2025.

"Kami menyimpan impian untuk mengadakan konsert solo lagi, tetapi bukanlah tahun ini. Kalau ikutkan, tahun 2025 akan menjadi tahun ke-10 Kugiran Masdo. Kami rancang untuk beri hadiah kepada peminat menerusi konsert.

"Kalau ikutkan impian, kami nak adakan konsert di lokasi terbuka. Kami nak janjikan satu persembahan bernilai buat mereka yang menyokong kami dari awal pembabitan kami sehinggalah ke detik itu," katanya.

Turut menempa nama di Indonesia, Putuceri berkongsi keterujaan mereka dengan layanan hangat daripada peminat di negara jiran itu.

"Di Indonesia, penerimaan mereka juga luar biasa. Setiap tempat ada keistimewaannya tersendiri. Di Jakarta dan Bandung, kami dilayan seperti orang tempatan dan tak rasa terasing langsung," katanya.

Belajar dari pengalaman, Putuceri turut berkongsi onak dan duri yang pernah dilalui, sekali gus menjadi pengajaran buat mereka.

"Antara pengalaman kami adalah apabila terpaksa berdepan penipuan oleh individu di Indonesia. Ketika ditawarkan untuk ke sana, kami rasa kalau tak ambil peluang itu, rugi juga. Jadi, kami ambil dan bila dah ke sana, kami ditipu dan terpaksa keluarkan kos sendiri.

"Pengalaman itu mengajar kami untuk lebih berhati-hati memberi kepercayaan kepada orang dan pilih orang yang tepat. Tapi, kalau tak kena, mungkin kami takkan belajar.

"Sekarang kami dah mula nak cari ejen untuk memudahkan urusan kami di sana," katanya.

Selain Pujaanku, Kugiran Masdo juga juga baru saja melancarkan single berjudul Inilah Jalan-Nya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 6:00 AM