Noorkumalasari
Noorkumalasari
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon lagenda, Noorkumalasari, 66, mengakui, pintu hatinya sudah tertutup untuk kembali berlakon.

Noor yang juga penyanyi dan bekas peragawati ketika ditemui berkata, buat masa sekarang, dia tidak melihat sebarang visi untuknya kembali ke dalam dunia seni itu.

"Mungkin satu hari nanti, kalau ada skrip yang betul-betul bagus dan dapat mencungkil bakat saya, mungkin saya akan kembali berlakon.

"Tapi, sekarang, memang hati saya tertutup dan tak ada nampak yang ia boleh terbuka," katanya.

Menurutnya, dia masih lagi ditawarkan watak untuk dilakonkan, namun terpaksa menolak atas beberapa sebab.

"Ada tawaran lakonan yang diberikan kepada saya. Datuk A Aida pun ada tanya, tetapi saya tak mahu.

"Dulu, saya berlakon (Pintu No 9 Masjid Nabawi) pun sebab penggambaran di Makkah dan watak yang saya pegang adalah sebagai ibu saya.

"Sekarang, kalau berlakon pun, saya mengeluh. Mengeluh sebab waktu menunggu yang sangat lama. Saya dah masak sangat dah.

"Kemudian, kerenah artis-artis sekarang, yang saya dengar ada macam-macam sikap," katanya.

Kali terakhir Noor berlakon adalah dalam telefilem berjudul Pintu No 9 Masjid Nabawi pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 5:14 PM