Mimie Haris dan suami.
Mimie Haris dan suami.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Doa pengacara, pelakon, dan penyanyi Mimie Haris, 32, dipertemu jodoh sewaktu ke umrah pada Mac lalu termakbul apabila dia selamat bernikah dengan ahli perniagaan Khairril Anuar, 38, kelmarin.

Mimie atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris berkata hubungannya dengan Khairril cuma atas dasar kawan semata-mata namun tak sangka membawa ke pelamin.

"Sewaktu menunaikan umrah pada Mac tahun ini, saya berdoa segala urusan dipermudahkan. Baik jodoh dan kelangsungan karier seni. Tak sangka rezeki jodoh datang dulu.

"Saya dan suami kenal sebagai kawan saja tidak lama dulu. Apabila bawa jumpa keluarga, mereka sangat sukakan Khairril terutama bapa saya. Kiranya dia memang pilihan keluarga.

"Khairril adalah seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa positif. Dia tak suka bercerita mengenai orang lain dan suka abaikan cakap-cakap yang membabitkan kami," katanya.

Berlangsung di sebuah lokasi di Glenmarie, Shah Alam, majlis terbabit cuma dihadiri lebih 300 tetamu.

Menurut Mimie, dia enggan menguar-uarkan hubungan mereka sejak bertunang pada Jun lalu kerana hormati keluarga kedua pihak.

"Pasal bertunang pada Jun lalu pun baru saya kongsikan menjelang majlis nikah. Memang tak nak kongsi sebelum ini kerana ialah apa-apa saja boleh jadi kan dan hati keluarga pun kena jaga.

"Majlis nikah dan resepsi pun kami adakan pada hari sama dalam skala kecil-kecilan saja. Maaf sangat saya tak dapat jemput ramai kerana kebanyakan yang hadir pun daripada rakan terdekat keluarga," katanya.

Mimie berkata dia dan suaminya ada merancang untuk berbulan madu namun bukan keutamaan buat masa sekarang.

Mereka mahu kembali bekerja terlebih dulu, tambah simpanan, dan berhasrat bercuti di luar negara kelak.

Terdahulu, pengacara program WOW itu pernah mendirikan rumah tangga pada 2015 dan 2020.

Bagaimanapun jodohnya tidak berpanjangan. Hasil perkahwinan itu, Mimie tidak dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 11:50 AM