MIMI bersama suami, Mohd Firdaus.
MIMI bersama suami, Mohd Firdaus.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Penyanyi Kumpulan One Nation Emcees (ONE), Mimi, 28, mendakwa dia sudah bernikah dengan lelaki pilihannya Mohd Firdaus Hajar, 29, sejak 16 Mei lalu.

Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham sebelum ini memaklumkan kepada media dia akan bernikah pada 7 November ini.

Menurutnya, dia terpaksa menyembunyikan perkara itu daripada pihak media kerana belum bersedia ditambah dengan keadaan kesihatan bapanya Norhisham Nasir yang ketika itu tidak mengizinkan.

“Saya minta maaf. Ketika itu saya belum bersedia ditambah dengan keadaan kesihatan bapa tidak mengizinkan.

“Keputusan untuk bernikah segera adalah permintaan bapa. Mengikut perancangan asal, majlis sepatutnya berlangsung pada 7 November depan,” katanya kepada RAP kelmarin.

Mimi berkata, selepas 12 hari bernikah, bapanya meninggal dunia akibat barah hati dan pendarahan dalam perut pada 28 Mei lalu.

Menurut Mimi, sehingga hari ini dia dan suami masih tinggal berasingan kerana dia terlalu sedih dan masih terkejut dengan pemergian bapanya.

Mimi berkata, dia meminta izin suaminya untuk tinggal berasingan bagi menenangkan fikiran dan ingin menyelesaikan beberapa hal membabitkan keluarga.

Dia bersyukur suaminya, pensyarah di Universiti Tun Abd Razak (Unitar) itu menghormati permintaannya.

“Suami memahami situasi saya. Buat masa sekarang saya tinggal bersama ibu dan adik-beradik lain.

“Bagaimanapun, kami sudah mula mencari rumah sendiri untuk tinggal bersama selepas ini. Mungkin segala-galanya berjalan seperti biasa selepas kami bersanding nanti. Jika difikir balik, tak boleh hidup macam tu, tapi suami sangat memahami,” katanya.

Pasangan itu bakal melangsungkan majlis persandingan pada 7 November depan di Dewan Sivik

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Ikutkan hati saya mahu batalkan saja majlis itu, tapi lokasi sudah ditempah terlebih dulu,” katanya.

Mereka bertunang awal tahun lalu yang juga dilakukan tanpa pengetahuan ramai termasuk pihak media.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 12:19 PM