ANTARA artis yang akan terbabit dalam acara Konsert Rock On 40: The Legends
ANTARA artis yang akan terbabit dalam acara Konsert Rock On 40: The Legends
Syafil Syazwan Jefri


Genre muzik rock sudah bertapak di dalam arena muzik sejak berdekad yang lalu. Di Malaysia, rock melalui zaman kegemilangan sejak 40 tahun lalu dan terus diterima sehingga ke hari ini.

Bersempena dengan angka empat dekad itu, penganjur acara, Menara Network Sdn Bhd (MNSB) muncul dengan idea untuk membawa pemuzik dan bintang dalam liga itu untuk beraksi di pentas Istana Budaya pada 2 dan 3 Disember ini menerusi Konsert Rock On 40: The Legends.

Pengajur, Aman Ali berkongsi proses perjalanan usulnya dalam membawa dan menggegarkan pentas Istana Budaya dengan muzik rock itu.

"Idea ini tercetus pada Februari lalu, di mana, kami mengusulkannya kepada Istana Budaya. Pada April, kami membentangkan kertas kerja dan seterusnya mendapat persetujuan daripada mereka," katanya.

Membariskan empat bintang dan pemuzik rock tanah air iaitu Datuk Awie, Mus, Ella dan Man Kidal, acara konsert Rock On 40: The Legends itu juga turut menampilkan Ritz Metalasia sebagai penyusun muzik.

"Pemilihan keempat-empat bintang utama ini adalah kerana masing-masing punya perjalanan mereka tersendiri sepanjang karier muzik rock mereka berlangsung.

"Istimewanya, acara konsert kali ini juga turut mengangkat pemuzik, Ritz Metalasia sebagai penyusun muzik, di mana itu juga umpama pengiktirafan buat pemuzik rock," katanya.

AWIE minta penyanyi yang adakan persembahan turut nyanyikan lagu legenda rock negara.
AWIE minta penyanyi yang adakan persembahan turut nyanyikan lagu legenda rock negara.

Bagi memberi lebih kepuasan kepada artis, pemuzik, serta penonton yang akan membeli tiket, MNSB turut menambah baik beberapa aspek di Istana Budaya.

"Sesuai dengan konsep ulang tahun genre rock, kami ingin berikan yang terbaik. Kami sekali gus menambah baik 200 peratus aspek sedia ada di Istana Budaya termasuklah sistem bunyi untuk kepuasan semua," katanya.

Sementara itu, penyanyi, Datuk Awie berkongsi mengenai persembahan yang akan dipersembahkan pada acara itu kelak.

"Saya harap, kita tidak akan mengehadkan persembahan hanya dengan lagu-lagu penyanyi yang membuat persembahan sahaja, tetapi, kalau boleh, kita akan nyanyikan juga lagu-lagu legenda rock tanah air.

"Ini termasuklah lagu-lagu daripada Lefthanded, Search dan sebagainya. Ini umpama tribute buat rakan-rakan legenda rock kita dan pada masa sama, dapat meriahkan suasana serta kembalikan semula arena rock," katanya.

Mus yang juga bekas vokalis kumpulan May pula berkongsi mengenai persiapannya untuk membuat persembahan.

"Kami (artis) sendiri pun dah tahu secara kasar mengenai apa yang bakal berlaku di pentas konsert itu nanti. Insya-Allah, persiapan akan dimulakan dan kami akan berikan persembahan terbaik buat penonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:30 AM