Kumpulan Wings. Foto Aswadi Alias
Kumpulan Wings. Foto Aswadi Alias
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kumpulan rock legenda, Wings memaklumkan sudah menerbitkan album baru sejak tiga tahun lalu yang belum dikeluarkan kepada peminat.

Vokalisnya, Datuk Awie, 55, berkata, mereka sudah mempunyai 16 lagu dan dia sudah merakam suara untuk beberapa lagu berkenaan.

"Namun kesempatan untuk masukkan suara tiada kerana kami sibuk dengan latihan pelbagai konsert. Saya pula kalau rakaman memang tak nak diganggu dengan benda lain. Ia agak memenatkan.

"Saya tunggu bila dah reda kerja baru set up semula masuk studio. Lagipun Wings ada studio untuk rekod sendiri. Album ini Datuk M Nasir terbitkan. Sekarang kami tambah lagu untuk memenuhi cita rasa terkini.

"Sebenarnya dah tiga tahun buat tak keluar-keluar sebab kami rasa macam tak boleh. Selagi tak okey, tak bolehlah keluar. Sebab kami bukan nak kejar apa-apa pun," katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, Awie mengakui setiap kali mengadakan konsert, peminat tetap mahukan lagu-lagu dari album lama Wings.

"Malah lagu-lagu dari album Naga Kramat dan Menakluk Kosmos orang tak nak. Jarang orang minta nyanyikan. Semua nak lagu dari album lama. nyanyikan.Tapi ada la satu dua lagu yang kami nyanyikan," katanya.

Mereka akan menjayakan Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 1:15 PM