Georgie Joseph


TEPAT jam 8.30 malam pada 6 Ogos lalu, suasana Dewan Filharmonik Petronas (DFP) hening sebaik pasukan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mula mengalunkan lagu yang begitu membuai.

Lebih 900 penonton hadir pada Konsert Aishah & MPO : A Symphonic Rendezvous rata-ratanya tidak sabar menanti kelibat Datuk Aishah. MPO yang diketuai konduktor terkenal, Ahmad Muriz Che Rose itu semakin panaskan suasana.

Sebaik Aishah, 57, muncul, tepukan bergema sebagai mengalu-alukan penyanyi legenda itu membuka tirai pentas.

Anggun dengan persalinan Razman Razmi, dia kelihatan bersahaja dan sedia menggegar konsert terbabit.

Begitulah auranya sebagai penyanyi pujaan ramai. Walaupun bersahaja, tetapi persembahannya menerusi lebih 25 lagu pada malam itu terlalu epik dan meninggalkan kepuasan berbaloi khasnya untuk peminat fanatiknya.

Pada usia lebih separuh abad, Aishah membuktikan dirinya memang penghibur sejati. Caranya menakluk pentas membuatkan penonton meremang terutama sebaik dia membuka mulut untuk menyanyi.

Dia memberikan sepenuh jiwanya kepada konsert yang secara peribadi menjadi impiannya selama ini. Biar bertembung dengan pelbagai konsert besar lain, tidak menggugat pun semangatnya.

"Selama 36 tahun menyanyi, impian untuk mengadakan konsert diiringi orkestra penuh akhirnya menjadi kenyataan. Lama saya tunggu dan pelbagai dugaan menimpa sebelum malam ini terjadi.

"la sememangnya sebuah perjalanan yang sangat jauh. Sebaik mendapat tawaran dari MPO sebelum pandemik Covid-19 melanda, latihan dan persiapan sebenarnya sudah berlangsung.

IMPIAN konsert orkestra penuh dinanti Aishah akhirnya menjadi kenyataan.
IMPIAN konsert orkestra penuh dinanti Aishah akhirnya menjadi kenyataan.

"Sepanjang tempoh menunggu untuk merealisasikan konsert, dua kali saya diuji dengan jangkitan Covid-19. Hampir 20 peratus juga paru-paru saya alami kerosakan, tetapi itu semua tidak mematahkan semangat saya," katanya.

Berdurasi lebih dua jam, paling ketara mengenai Aishah adalah penguasaan pentasnya. Walaupun pasukan orkestra tersergam megah di belakangnya, tidak sedikit pun menenggelamkan auranya.

Lebih menarik, penampilan terbarunya cukup membuatkan ramai terlopong. Mana tidak, tubuhnya sangat jauh berbeza dan kelihatan genit berbanding sebelum ini. Rupanya, berat badannya kini tinggal 47 kilogram.

Aishah jelas sangat seronok berkongsi mengenai penurunan berat badan itu. Bahkan, dia mengakui jauh lebih yakin dan merasa sihat dengan penampilan sebegitu.

"Sewaktu pandemik, banyak sangat masa kita mencari sesuatu untuk memperbaiki diri. Saya sendiri mencari dan membaca pelbagai cara untuk mendapatkan tubuh badan yang lebih meyakinkan," katanya.

Apapun, Aishah memang meletakkan dirinya pada kelas tersendiri menerusi konsert itu. Bukan saja menerusi vokal, bahkan caranya berinteraksi baik dengan pasukan orkestra mahupun penonton.

Selain itu, kredit juga harus diberikan kepada MPO atas susunan muzik yang cukup megah. Tidak perlu bandingkan dengan muzik asal setiap lagu, mereka memberi keadilan sepenuhnya dengan bunyi sangat indah.

Demikian juga penonton, tidak lekang memberikan tepukan gemuruh sebaik setiap lagu habis dipersembahkan. Mereka juga sambil bertepuk tangan mengikut rentak lagu terutama yang rancak.

Yang jelas, segala usaha keras Aishah pada malam itu memang cukup berbaloi. Penonton yang hadir nyata pulang dengan kepuasan maksima selepas dihiburkan dengan suara emasnya.

Seleksi lagu dipersembahkan termasuk Kasih Kita, Kau Yang Istimewa, Bayangan, Hening, Hanakage, Kemaafan Dendam Yang Terindah, Kau Sahabat, Kekasih dan Teman, Camar Yang Pulang, Seloka Rindu dan Janji Manismu.

Tidak ketinggalan beberapa lagu dipersembahkan secara medley seperti Tiada Duka, Jari-Jariku Sakit Semua, Menanti dan Malam.

Turut dipersembahkan secara medley adalah seleksi popular The Fan Club antaranya Sensation, I Feel Love dan Don't Let Me Fall Alone yang pernah menembusi carta Billboard, Amerika Syarikat (AS) pada 1989.

Aishah turut menunaikan permintaan peminat untuk lagu hari raya, Pulanglah yang dipersembahkan secara acapella. Itu antara tindakan spontan dilakukannya yang berjaya mencuit hati penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 6:30 AM